Pusat Penyelidikan Bukit Fraser (PPBF) telah ditubuhkan pada tahun 1990 berikutan penyerahan tanah daripada Kerajaan Negeri Pahang pada tahun 1989 bagi menjalankan penyelidikan ekosistem dan ekologi tanah tinggi tropika. Bukit Fraser ialah tapak kepelbagaian biologi dan ekosistem yang penting di Malaysia dan merupakan Kawasan Penting Burung (IBA) yang diiktiraf oleh Birdlife International.

Ekosistem pergunungannya mempunyai banyak spesies endemik dan mempunyai nilai warisan semula jadi yang penting kepada Malaysia. Pusat penyelidikan ini adalah hasil usaha kerjasama yang berterusan dan erat antara UKM dan Kerajaan Negeri Pahang bagi membolehkan universiti menjalankan peranan utamanya dalam membangunkan dan mempromosikan edupelancongan dan penyelidikan rentas disiplin dan berfungsi untuk menyokong pertumbuhan sosioekonomi Koridor Raub – Bukit Fraser.

Galeri Interprestasi Burung di Kompleks Pelancongan Bukit Fraser juga antara usaha PPBF dengan Tourism Pahang bagi memberi maklumat berkenaan flora dan fauna di ekosistem tanah tinggi di Bukit Fraser.