182 Cermin Mata Percuma diberikan Kepada Penduduk Kampung Santubong

Oleh Dr Mohd Harimi Abd Rahman

SANTUBONG – Seramai 61 pelajar Program Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyantuni masyarakat di Kampung Santubong, Sarawak dengan memberikan perkhidmatan pemeriksaan mata secara percuma kepada penduduk kampung tersebut.

Bertemakan Your Vision is Our Mission, program yang diadakan melalui Operasi Khidmat Masyarakat Optometri yang ke-31 (OPKOM-31) telah berjaya menjalankan pemeriksaan mata terhadap 324 orang penduduk dan sebanyak 182 cermin mata percuma telah diberikan kepada individu yang layak dan memerlukan.

Penduduk yang memerlukan cermin mata telah diberikan sama ada cermin mata sedia pakai atau cermin mata kitar semula yang sesuai.

Cermin mata kitar semula yang diberikan adalah projek kerjasama antara UKM dan Universiti Konan, Kobe, Jepun. Ini adalah kali ketiga Universiti Konan berkolaborasi dengan UKM untuk mengatur penghantaran cermin mata kitar semula untuk kegunaan perkhidmatan komuniti.

Inisiatif Your Vision is Our Mission tidak hanya meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar tetapi juga memberikan perkhidmatan penjagaan mata primer kepada penduduk Kampung Santubong. Ini menunjukkan kekuatan sokongan komuniti dalam mengubah kualiti hidup dan ia merupakan salah satu yang hasrat UKM.

Program ini turut mendapat kerjasama optometri dari Bumi Kenyalang iaitu seramai 10 orang yang kebanyakannya adalah alumni UKM yang sedang berkhidmat di  hospital Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga hospital swasta di sana.

Pengarah Yayasan Sarawak, Tuan Haji Mersal Abang Rosli, telah meluangkan masa merasmikan program ini. Beliau juga telah menekankan komitmen komuniti dalam menyokong inisiatif pendidikan dan kesihatan.

Program ini telah mendapat sokongan daripada rakan industri FSK iaitu La Calisto Sdn Bhd yang merupakan penaja utama bagi program OPKOM-3. Antara agensi lain yang turut memberi sumbangan dalam menjayakan OPKOM-31 ini adalah Yayasan Sarawak, Bank Simpanan Nasional, Persatuan Optometris Malaysia dan Alumni Optometri UKM

OPKOM-31merupakan program tahunan Persatuan Pelajar Optometri UKM yang turut memperkenalkan Program Anak Angkat di samping pemeriksaan mata yang komprehensif bagi penduduk kampung.

Pemeriksaan mata ini bukan sahaja membolehkan pelajar mengaplikasikan kemahiran klinikal mereka, tetapi juga mengenali budaya dan tradisi masyarakat setempat. Pengalaman ini penting dalam memastikan graduan UKM kompeten dan bersedia untuk berkhidmat bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat global.

Sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), OPKOM-31 bertujuan untuk menyediakan pendidikan yang berkualiti, memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan kepada semua lapisan umur serta memperkukuh dan menggalakkan perkongsian secara global.

Leave a Reply