Raja Muda Selangor Lancar PERMATA@pintar Antarabangsa

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 24 April 2024 – Raja Muda Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melancarkan program PERMATA@Pintar Antarabangsa dalam usaha mengembangkan penawaran program pendidikan pintar dan berbakat kepada pelajar antarabangsa.

Program ini merupakan inisiatif Pusat PERMATA@Pintar Negara Universiti Kebangsaan Malaysia (PPPN UKM) yang merupakan program khas pertama di Malaysia untuk pelajar pintar dengan potensi intelek semula jadi yang tinggi.

Menurut Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, PERMATA@Pintar Antarabangsa akan melibatkan tiga program ambilan pelajar antarabangsa iaitu Program Asasi Pintar, Program Perkhemahan Cuti Sekolah dan Program Sekolah Pintar.

Katanya, PPPN UKM juga telah merangka gerak kerja dan akan menawarkan Program Asasi Pintar antarabangsa di luar negara.

“Inisiatif ini adalah satu usaha untuk mengembangkan pendidikan pintar dan berbakat yang komprehensif iaitu dari pencarian pelajar pintar sehingga ke program pra-universiti ke peringkat antarabangsa.

“Anggaran ambilan pelajar bagi program ini adalah seramai 300 orang dan dijangka memulakan pengajian pada hujung tahun ini,” katanya.

Sementara itu, program Perkhemahan Cuti Sekolah dan Program Sekolah Pintar melibatkan kerjasama antara UKM dengan Mutiara International Grammar School, Kuala Lumpur (MIGS) bagi menjalankan program yang melibatkan pelajar antarabangsa.

“Program ini masing-masing akan mula ditawarkan kepada pelajar antarabangsa pada bulan Jun 2024 dan bulan Februari 2025.

Mohd Ekhwan berkata, sejak penubuhan PPPN UKM pada tahun 2009, ia telah menghasilkan pelajar pintar dan berbakat yang diterima masuk ke universiti terbaik dunia dan telah bekerja di dalam dan luar negara.

“Anak Selangor adalah antara yang paling ramai berada di Pusat Permata Pintar ini. Ini kerana, setiap tahun, pusat ini menerima antara jumlah permohonan yang paling tinggi dalam kalangan anak-anak negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata saringan UKM1 bagi anak-anak Selangor pada tahun ini meliputi kira-kira 267,000 orang pelajar dan jumlah ini sememangnya agak tinggi berbanding negeri-negeri yang lain.

“Kejayaan utama bagi program ini adalah membangunkan program Pendidikan Pintar dan Berbakat yang terancang serta berstruktur sama ada dari aspek pencarian pelajar pintar di Malaysia, pembinaan kurikulum, pengurusan pentaksiran, latihan guru, program pengayaan dan penghasilan pelajar untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya berharap dengan pelancaran PERMATA@pintar Antarabangsa, UKM mampu menyediakan pendidikan pintar kepada pelajar-pelajar yang unik dari aspek kepintaran serta, memperkasakan pendidikan pintar dan berbakat di persada antarabangsa,” katanya.

Leave a Reply