IPI Sambut Ulang Tahun ke-10

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman

BANGI, 30 April 2023 – Institut Perubahan Iklim (IPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyambut ulang tahun ke-10 penubuhannya menandakan pencapaian satu dekad institut ini dalam memelihara kelestarian dan ekosistem bumi.

Majlis ini disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Nor Yahati Awang.

Beliau berkata, isu perubahan iklim boleh berlaku atas pelbagai faktor antaranya proses semulajadi bumi, pendorong luaran, ataupun perubahan antropogenik.

 “Dengan adanya sumber ilmu yang menyeluruh seperti yang ditawarkan oleh IPI, generasi kini dan akan datang, akan lebih bersedia dan lebih banyak teknologi dan inovasi baharu yang bakal dihasilkan dalam menyelesaikan isu perubahan iklim kelak.

“Institut ini turut menawarkan kursus Masters in Climate Change, yang mana saya merasakan bahawa kursus tersebut sangat bertepatan dalam menghasilkan pakar alam sekitar di dalam negara kita ini,” katanya.

Datuk Nor Yahati turut melancarkan Hari Bumi UKM 2024 pada majlis yang sama.

Beliau menjelaskan bahawa sambutan Hari Bumi adalah salah satu usaha menghargai bumi dan menyemai rasa tanggungjawab dalam kalangan masyarakat untuk lebih bersungguh-sungguh dalam memelihara alam sekitar.

Tambahnya, tema pada tahun ini, Planet Vs. Plastics, dipilih bagi menangani isu pencemaran plastik serta.

“Tema ini juga dipilih untuk meningkatkan kesedaran bertindak dalam kalangan komuniti bagi mencapai pengurangan 60 peratus penggunaan plastik menjelang 2040, pada peringkat global.

“Menjelang tahun 2050, dianggarkan bahawa penghasilan tahunan plastik pada peringkat global adalah sejumlah 600 juta tan.

“Bagi menangani masalah ini, kerajaan telah mengambil langkah dengan melancarkan Pelan Hala Tuju Malaysia ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan melalui pelan hala tuju ini ialah caj pencemaran bagi penggunaan beg plastik di premis tetap bagi mengurangkan penggunaan beg plastik sekali guna,” katanya.

Tambahnya, Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan telah bersetuju dengan cadangan pelaksanaan “Kempen Tiada Beg Plastik” oleh pihak berkuasa tempatan di seluruh negara, pada Oktober 2020.

“Melalui kempen ini, premis perniagaan akan mengenakan caj ke atas setiap beg plastik yang dibekalkan kepada pengguna semasa pembayaran di kaunter.

“Tujuan pengenaan caj pencemaran ini adalah sebagai satu bentuk pencegahan dan usaha membendung penggunaan beg plastik sekali guna yang kerap dibuang secara tidak terkawal. Pelaksanaan caj pencemaran ini adalah di bawah pihak berkuasa tempatan di negeri masing-masing,” katanya.

Program anjuran IPI dengan kerjasama Pusat Strategi UKM serta Persatuan Siswazah Sains Bumi dan Angkasa (ESSA) ini turut menyaksikan pelancaran Repositori Data EMC, Pelan Strategik IPI 2023-2025, serta Jurnal IPI.

Leave a Reply