Oleh Dr Mohd Haniff Osman
Foto Raihan Arif Bin Roslam
BANGI, 22 Jun 2026 – Pertandingan Pemodelan Matematik Tambang ECRL 2027 yang diadakan baru-baru ini telah memberi pendedahan kepada pelajar dalam membangunkan model matematik bagi pengiraan tambang tren yang realistik, mampan dan selaras dengan keperluan industri pengangkutan rel.
Pertandingan yang dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Bandar Pintar dan Mampan (SUTRA) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Kejuruteraan, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah sebagai inisiatif pembelajaran autentik yang menghubungkan teori matematik dengan aplikasi dunia sebenar.
Menurut Pengerusi Pertandingan, Prof. Madya Ir. Dr. Siti Fatin Mohd Razali, manfaat pertandingan ini akan diperluaskan kepada pelajar yang mempunyai minat mendalam terhadap matematik, namun berdepan kekangan untuk mengaplikasikannya dalam konteks sebenar.
“Sehubungan itu, satu model pembelajaran interaktif berasaskan hasil kerja peserta akan dibangunkan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata inisiatif itu selari dengan saranan UNICEF dan UNESCO bagi meningkatkan akses pembelajaran matematik kepada pelajar kurang berkemampuan, serta menyokong Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021–2030.
Pertandingan yang diadakan bersempena keterujaan rakyat Malaysia menantikan peluncuran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka bermula pada Januari 2027 telah disertai oleh pelajar sekolah dan institusi pendidikan tinggi
Ketua juri pertandingan daripada Malaysia Rail Link (MRL) Sdn. Bhd., Saifuz Zaman Aziz, menyatakan keterujaan terhadap hasil kerja peserta yang rata-rata berjaya mengaplikasikan faktor dinamik dalam pengiraan tambang, selaras dengan amalan industri.
Bagi keputusan pertandingan, Kategori I dimenangi oleh Muhammad Darwiis Isyraf Mohd Ashaari bersama rakan-rakan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam, manakala Kategori II dimenangi oleh kumpulan pelajar UKM yang diketuai oleh Cheng Zhi Qing dari Fakulti Sains dan Teknologi.
