UKM Raih Tiga Anugerah Dalam International Entrepreneurship Convention 2026

Oleh Dr. Iszan Hana Kaharudin
Foto UKM CESMED

Putrajaya, 12 Oktober 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia berjaya meraih tiga  anugerah dalam Konvensyen Keusahawanan Antarabangsa 2026 (IEC 2026) yang berlangsung di Pulse Grande Hotel, Putrajaya, baru-baru ini.

Kumpulan Planet Case dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) berjaya meraih tempat kedua, manakala Hey Sekawan dari Fakulti Pengajian Sains Citra (FPSC) menerima Anugerah Syarikat Pemula Berimpak Sosial Terbaik. Sementara itu, Vision Gro dari Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) menerima hadiah saguhati.

Pengarah UKM-CESMED, Prof. Madya Dr. Muhamad Azry Khoiry berkata pencapaian tersebut mencerminkan potensi pelajar UKM dalam membangunkan idea perniagaan yang inovatif dan memberikan manfaat kepada masyarakat.

Menurut beliau, UKM-CESMED akan terus memperkukuh bimbingan bersama fakulti dan mentor bagi mengasah bakat keusahawanan pelajar serta meningkatkan kesediaan mereka untuk meneroka peluang perniagaan.

Konvensyen yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman ini menghimpunkan mahasiswa, usahawan muda, pemimpin industri, pengasas syarikat pemula, pelabur, pendidik keusahawanan serta pemain ekosistem keusahawanan dari dalam dan luar negara.

Dianjurkan oleh Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), konvensyen ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk mendekati dunia keusahawanan, membina jaringan dan meneroka peluang baharu di peringkat serantau.

Wakil kumpulan PlanetCase, Damia Ayuni Saiful Bahari berkata penyertaan dalam konvesyen tersebut memberikan pengalaman berharga dan meningkatkan keyakinan pasukannya untuk membentangkan idea perniagaan.

Menurutnya, kejayaan itu turut menyuntik semangat kepada mereka untuk terus memperhalus idea dan meneroka potensi inovasi yang dibangunkan.

Leave a Reply