BANGI, 27 Oktober 2026 – International Nuclear Science, Technology and Engineering Conference 2026 (iNuSTEC2026), anjuran Fakulti Sains dan Teknologi, menyokong usaha Malaysia menilai potensi tenaga nuklear sebagai salah satu pilihan dalam campuran tenaga masa hadapan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) Prof. Dr. Ismanizan Ismail berkata UKM mempunyai tanggungjawab penting untuk menyediakan asas ilmu, bukti saintifik dan kepakaran yang diperlukan bagi menyokong pertimbangan dasar negara.
“Peralihan tenaga negara memerlukan pendekatan yang berasaskan sains, penilaian yang teliti dan kerjasama erat antara kerajaan, universiti, industri serta masyarakat.
“Dalam mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai salah satu pilihan masa hadapan, Malaysia perlu membangunkan keupayaan nasional yang merangkumi penyelidikan, teknologi, keselamatan, tadbir urus dan modal insan.
“UKM komited untuk menyumbang melalui penyelidikan multidisiplin, pendidikan dan latihan, pembangunan bakat muda serta kerjasama strategik dengan agensi dan industry,” katanya.
Tambahnya, UKM perlu memastikan bahawa sebarang pertimbangan terhadap teknologi nuklear disokong oleh pengetahuan yang kukuh, kefahaman terhadap risiko dan manfaat, serta komitmen terhadap keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Persidangan ini menghimpunkan ahli akademik, penyelidik, agensi kerajaan, pemain industri dan generasi muda bagi membincangkan perkembangan sains dan teknologi nuklear, keperluan kepakaran teknikal serta cabaran yang perlu ditangani bagi memastikan pembangunan teknologi nuclear dilaksanakan secara bertanggungjawab.

