UEM Beri Sumbangan Dana RM3.65 juta Bantu Pesakit B40 di HCTM

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

CHERAS, 19 Julai 2022 – UEM Group Berhad dan Yayasan UEM menyumbang sebanyak RM3.65 juta kepada Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia sejak sembilan tahun lepas bagi membantu pesakit di hospital itu yang tidak berkemampuan menerima rawatan.

Pengarah HCTM, Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin berkata sumbangan yang diberikan oleh UEM itu telah membantu seramai 548 pesakit di HCTM yang benar-benar memerlukan.

“Selain dari pembiayaan perubatan, dana itu juga digunakan bagi membantu pesakit membeli peralatan perubatan yang diperlukan dan membeli ubat yang tidak dibekalkan oleh HCTM yang melibatkan kos yang tinggi.

“Bantuan dana yang diberikan oleh UEM melalui dana zakat dan Yayasan UEM telah dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh para pesakit,” katanya.

Beliau berkata untuk tahun ini, UEM telah menyumbang sebanyak RM400,000 dana iaitu RM100,000 untuk zakat dan RM300,000 untuk Yayasan UEM.

“Sumbangan zakat hanya diagihkan kepada pesakit Islam sahaja manakala sumbangan Yayasan UEM diagihkan kepada pesakin Islam dan bukan Islam,” katanya.

Ujar beliau, pemilihan pesakit yang layak mendapat bantuan itu menggunakan tatacara perubatan nasional iaitu melalui sesi libat urus.

“Pesakit dari golongan B40, pesakit OKU dan warga emas adalah faktor utama dalam pemilihan kita,” katanya.

Dato’ Dr. Razman berkata pihaknya mengalu-alukan syarikat korporat atau mana-mana organisasi dan NGO yang lain untuk turut serta dalam memberi sumbangan bagi membantu kos perubatan pesakit-pesakit yang kurang berkemampuan.

“Lebih banyak syarikat korporat atau badan NGO yang menghulurkan sumbangan, lebih ramai pesakit yang kurang berkemampuan dapat dibantu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan UEM Group Berhad dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UEM, Dato’ Mohd Izani Ghani berkata sepanjang sembilan tahun UEM bekerjasama dengan HCTM, mereka sangat berpuas hati dengan pengurusan pengagihan bantuan dana kepada pesakit yang memerlukan.

“Pihak HCTM telah memberi kelulusan (dana) yang cepat kepada pesakit dalam memastikan pesakut mendapat rawatan dengan cepat.

“Ini yang kita mahukan kerana kita tidak mahu pesakit menunggu lama untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berharap agar pihaknya dapat meneruskan kerjasama itu dalam tempoh yang lebih panjang bagi memastikan lebih ramai pesakit yang kurang berkemampuan menerima bantuan tersebut bagi mendapatkan rawatan yang berkualiti dan sempurna.

Leave a Reply