Digitalisasi Tapak Tangan: Bersediakah Kita?

Oleh: Muiz Zulkifli, Izzul Islam & Dr. Velan Kunjuraman

Melangkah ke tahun yang baharu dengan menuju kepada masyarakat tanpa tunai menjadi satu topik hangat untuk dibincangkan, baik dalam negara mahupun global. Satu inovasi terbaharu dalam pembangunan teknologi tunai menggunakan ‘pengesanan tapak tangan’ (palm-scanning technology) telah diperkenalkan. Syarikat-syarikat gergasi seperti Tencent di China dan Amazon di Amerika Syarikat berlumba-lumba membangunkan teknologi ini. Teknologi ini dijangkakan membantu memudahkan urusan transaksi pembelian dengan hanya mengesan tapak tangan yang berpandukan biometrik individu.

Kerancakan pertumbuhan dan pembangunan teknologi pengesanan tapak tangan, Malaysia juga tidak mahu ketinggalan untuk turut serta mengimplementasi teknologi ini yang dijangka mampu merubah landskap pembangunan digitalisasi kewangan negara. Menurut Statista, nilai urus niaga dalam segmen pembayaran digital Malaysia diunjurkan mencecah USD 42.02 bilion menjelang 2028, mencerminkan kadar pertumbuhan 10.92% antara 2024 dan 2028. Melihat kepada peningkatan jumlah transaksi digital di seluruh negara, penerimaan teknologi ini seharusnya memberikan satu alternatif kepada para pengguna dalam urusan pembayaran tanpa tunai.

Namun, persoalan yang timbul adalah adakah Malaysia pada hari ini benar-benar bersedia dalam mengaplikasikan inovasi baharu sebegini daripada segi pembangunan infrastruktur, sosial atau ianya sekadar mengejar status negara maju semata-mata?

Penelitian semula terhadap landskap penggunaan tanpa tunai di Malaysia, pembayaran secara digital menunjukkan peningkatan populariti dengan kewujudan pelbagai medium pembayaran dompet mudah alih seperti Touch ‘n Go eWallet, MAE, Boost dan pelbagai lagi. Menurut laporan Indeks Adyen pada Oktober 2024, 63 peratus rakyat Malaysia menggunakan kemudahan ini secara aktif. Pembangunan kemudahan dompet mudah alih ini bukan sahaja dibangunkan oleh syarikat-syarikat perbankan dan kewangan, namun ada kerajaan negeri seperti di Sarawak mengambil inisiatif membangunkan dompet mudah alih melalui SPay Global bagi menggalakkan penggunaan pembayaran digital dalam kalangan rakyat.

Walaupun dengan inisiatif yang dijalankan oleh pelbagai pihak, masih wujud kekangan dan halangan dalam mengadaptasi pembayaran digital ini terutama buat masyarakat pedalaman dan juga pengusaha perniagaan kecil-kecilan. Begitu juga sesetengah perniagaan di bandar pada hari ini masih tidak menerima pembayaran digital dek kerana bimbang dengan “scammer”, rangkaian internet yang terhad, dan serta kekurangan kesedaran untuk mengadaptasi pembayaran digital ini. Mengikut laporan data National Scam Response Center ((NSRC) mangsa penipuan yang berlaku di Malaysia mengalami kerugian sebanyak RM371 juta sejak Oktober 2022 sehingga Ogos 2024. Ini menyebabkan perniaga hari ini masih merasakan mereka lebih gemar menggunakan pembayaran secara tunai. Pembayaran tanpa tunai dianggap sesuatu yang asing kerana mereka tidak didedahkan kelebihan pembayaran tanpa tunai kepada perniagaan mereka.

Oleh itu, literasi digital amat penting untuk diberi penekanan dalam mendidik masyarakat menjadi lebih matang menggunakan teknologi digital agar budaya pembayaran secara digital dapat diamalkan. Kewujudan teknologi baharu melalui pengesanan tapak tangan ini berpotensi untuk memberi manfaat buat Malaysia. Daripada sudut keselamatan dan keterjamninan, kaedah sebegini boleh mengurangkan kecurian dan penipuan yang menjadi kegusaran setiap pemilik perniagaan secara tidak langsung hal ini mampu membina kepercayaan dan keyakinan dalam diri para pengguna.

Sekali lagi, perlu ditegaskan bahawa literasi terhadap digital dan kepenggunaan perlu diberi perhatian. Pihak yang bertanggungjawab perlu cakna terhadap beberapa aspek yang berkemungkinan menjadi penghalang dalam membangunkan teknologi sedemikian seperti risiko privasi, kos infrastruktur dan ketidaksamaan sosial. Permerhatian pada konteks sosial hari ini, penduduk luar bandar dan warga emas berisiko ketinggalan disebabkan kekurangan akses pengetahuan dan infrastruktur akan mengakibatkan teknologi pembayaran barangan melalui tapak tangan sukar direalisasikan.

Kesedaran literasi digital dan kepercayaan orang awam juga penting dalam membentuk generasi yang mengutamakan kewangan digital berbanding kewangan konvensional. Pentingnya untuk melihat peranan kerajaan dan institusi kewangan dalam mengetengahkan isu ini. Bank Negara Malaysia dan bank tempatan mestilah memacu dasar yang selari untuk memastikan perlindungan data dan akses yang saksama kepada masyarakat. Kolaborasi di antara syarikat-syarikat teknologi untuk menjalankan program perintis secara berperingkat mampu mencerminkan ketelusan dan mengurangkan kebimbangan dalam kalangan pengguna.

Dengan inisiatif kerajaan Madani yang dapat dilihat sebagai aspirasi ke arah digitalisasi melalui Bajet 2025, dimana kerajaan memperuntukkan sebanyak RM85 juta dalam memerangi jenayah siber terutama berkaitan penipuan dan jenayah ‘fraud’. Selain itu, kerajaan juga meletakkan bajet sebanyak RM10.5 juta sebagai salah satu inisiatif digitalisasi dan automasi dalam merapatkan jurang digital untuk komuniti desa.

Akhir kata, perjalanan pembangunan tanpa tunai di Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dipraktikkan sehingga ke akar umbi. Perlaksanaan dan pembangunan literasi digital perlu diterapkan kepada masyarakat bermula daripada pendidikan di sekolah lagi. Pembinaan infrastruktur dan kepercayaan pengguna amat penting bagi memudahkan kelancaran penerimaan terhadap digitalisasi kewangan. Namun begitu, perlaksanaan teknologi terbaharu seperti pengimbasan tapak tangan ini bergantung kepada bagaimana pihak bertanggungjawab boleh menangani masalah privasi, kebolehcapaian dan kepercayaan dalam kalangan pengguna. Pendekatan holistik yang melibatkan kerajaan, perniaga dan pengguna boleh memastikan teknologi yang diadaptasi dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat seterusnya jurang sosial dapat diminumkkan. Dengan usaha kolektif, Malaysia boleh mendahului di rantau ASEAN dalam pembayaran biometrik dalam aktiviti harian. Semoga peruntukan khas dalam Belanjawan 2025 oleh kerajaan Madani mengenai digitalisasi dapat digunakan dengan penuh amanah agar rakyat Malaysia dapat menikmati manfaatnya.

Muiz Zulkifli, Izzul Islam, Dr. Velan Kunjuraman
Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia 2025

Leave a Reply