Pembangunan Bakat dalam bidang AI: Bersediakah Kita?

Bidang kecerdasan buatan (Artificial Intelligence atau AI) bukan la satu bidang baharu. Bidang ini telah diperkenalkan sejak berpuluh tahun lepas. Walau bagaimanapun, bidang ini telah menjadi teknologi yang semakin diperlukan semenjak 2-3 tahun lepas. Pelbagai penciptaan dan penerokaan berkaitan bidang dan teknologi AI ini yang telah menjadi salah satu teknologi paling signifikan yang mengubah pelbagai sektor kehidupan. AI menawarkan penyelesaian canggih dalam bidang seperti kesihatan, pembuatan, logistik, pendidikan, dan banyak lagi. Seiring dengan pesatnya adaptasi teknologi ini, pembangunan bakat di bidang AI juga semakin mendesak. Pembangunan bakat ini menjadi kunci dalam memastikan inovasi dan pengembangan AI berlaku dengan baik sama ada kepada individu, industri, mahupun negara. Tambahan lagi, PMX telah mengumumkan pelbagai inisiatif berkaitan bidang ini terutamanya dalam mengaplikasi teknologi AI dalam pelbagai sektor di Malaysia.

Diantara inisiatif yang menarik ialah dengan pengumuman penubuhan fakulti AI pertama di Unitersiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur dan juga inisiatif kolaboratif dengan institusi akademik lain dikenali sebagai Konsortium AI Malaysia (MAIC) oleh PMX pada tahun lepas. Yang terbaharu, Kementerian Pendidikan Tinggi juga telah meluluskan penubuhan Fakulti kecerdasan Buatan dan Keselamatan SIber di Universiti Teknikal Malaysia, Melaka. Begitu juga dengan peluncuran Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) dibawah Kementerian Digital pada Disember 2024. Semua inisiatif ini bagi memastikan teknologi AI dipacu lebih pantas yang membolehkan Malaysia bersaing dengan negara maju. Selain itu, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) juga turut mengeluarkan Advisory Noted AI dalam membantu Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) merangka program berteraskan AI pada September 2024 dan sekarang MQA dalam proses membangunkan Standard Program AI bagi tujuan yang sama. Ekoran daripada perkembangan ini, banyak PPT telah mengorak langkah untuk membangunkan program berteraskan AI. Persoalan utamanya, sejauh mana bakat dalam bidang AI diperlukan oleh negara.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengeluarkan Malaysia National AI Roadmap (AI-RMAP) 2021-2025 pada tahun 2021. Dalam roadmap ini, pihak MOSTI menerangkan keperluan AI dan juga menggariskan enam strategi berkaitan keperluan AI bagi negara Malaysia iaitu Strategi 1 (Establishing AI Governance), Strategi 2 (Advancing AI R&D), Strategi 3 (Escalating Digital Insfrastructure to Enable AI), Strategi 4 (Fostering AI Talents), Strategi 5 (Acculturating AI) dan Stragegi 6 (Kick Starting a National AI Innovation Ecosystem). Dalam roadmap ini, Strategi 4 merupakan fokus kepada pembangunan bakat dalam bidang AI. Strategi 4 ini menyatakan dengan jelas, pembangunan bakat perlu bermula dari peringkat sekolah sehinggalah di peringkat universiti. Begitu juga dengan meraikan pendidikan sepanjang hayat dalam bidang AI. Pelbagai taget telah diunjurkan berkaitan bakat dalam bidang AI dari peringkat sekolah sehinggalah keperluan dalam bidang industri. Sebagai contoh, 200000 bakat dalam bidang AI disasarkan diperingkat sekolah yang diterajui oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, 20 AI professional AI berkelulusan AI, 100 profesional AI berkelulusan sarjana, 87500 pendidik yang mempunyai kompetensi dalam bidang AI dan sebagainya. Tidak ketinggalan keperluan industri berkaitan bakat dalam AI seperti 500000 pekerja yang telah diberi kompetensi berkaitan teknologi AI, 5000 pekerja dikalangan pengurusan atas ditambah baik dari segi kompetensi AI dan banyak lagi. Begitu juga dengan sasaran pihak HRDF yang menawarkan lebih 5000 program peningkatan kemahiran dan pengetahuan berkaitan bidang dan teknologi AI. Semua inisiatif dan perancangan berkaitan teknologi ini agak komprehensif dan baik.

Pada pertengahan Disember juga, pihak Fakulti AI, UTM telah menganjurkan Seminar Pembangunan Bakat AI yang dihadiri oleh wakil dari PPT dan juga industri. Dalam seminar tersebut turut dibincangkan mengenai keperluan dan hala tuju berkaitan pembangunan bakat AI. Walaupun tidak secara terperinci tetapi ia berharap menjadi titik tolak dalam usaha pembangunan bakat AI yang berkualiti.

Berbalik kepada persoalan utama, adakah semua pihak bersedia dan mempunyai kemudahan, kepakaran yang secukupnya untuk membangunkan bakat dalam bidang AI? Adakah pihak industri bersedia dalam menyediakan pekerjaan dalam bidang AI kepada bakat yang bakal dihasilkan. Kedua-dua persoalan ini perlu dijawab dan diperhalusi oleh semua pihak sama ada pihak kerajaan, pihak PPT dan juga pihak industri. Pihak kerajaan perlu menyediakan inisiatif yang lebih banyak dalam proses pembangunan bakat. Polisi dan dasar perlu seiring dengan keperluan semasa bakat AI ini perlu dibangunkan. Pihak PPT perlulah bersedia dalam membangunkan dan mengemaskini kurikulum yang bakal memenuhi keperluan industri dan pihak industri perlulah bersedia dalam menyediakan bidang pekerjaan kepada bakat AI ini. Sebagai contoh, sejauh manakah bakat AI diperlukan untuk pemegang diploma, pemegang ijazah ataupun pemegang pasca siswazah dalam bidang AI? Adakah memadai program-program bukan AI tetapi ditindihkan dengan kompetensi AI sahaja yang diperlukan dalam pasaran?

Kita tidak mahu ketidakseimbangan pengeluaran dan permintaan berlaku. Pihak bertanggungjawab perlu membuat kajian yang komprensif untuk mengenalpasti keperluan sebenar dari segi jenis dan jumlah bakat AI ini. Kita perlu elakan lebihan bakat AI dalam pasaran yang menyebabkan selepas mereka bergraduat, mereka sukar mencari pekerja yang sesuai dalam bidang AI. Ini perlu diperhalusi oleh semua pihak dalam keghairahan semua PPT dalam membangunkan program berteraskan AI di semua peringkat pengajian.

Prof. Madya Ts Dr Zulkefli Mansor
Pengarah Pengajaran dan Pembangunan Kurikulum, UKM
Merangkap Pengerusi Advisory Notes dan Standard Program AI, MQA.
Tel: 019-3937795 

Leave a Reply