UKM dan UNITEN Jalin Kerjasama Bangunkan Modul Literasi Tenaga

Oleh Dr Lim Kar Keng
Foto Pusat Citra UKM

BANGI, 11 Oktober 2023 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Pengajian Citra Universiti dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menjalin kerjasama bagi membangunkan Modul Literasi Tenaga yang merupakan salah satu inisiatif penting di bawah rangka kerja Malaysia Energy Literacy Programme (MELP).

Kerjasama itu dibuat melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua universiti baru-baru ini, dalam meningkatkan literasi tenaga di Malaysia melalui pendidikan.

Modul itu akan ditawarkan sebagai kursus elektif untuk pelajar prasiswazah merentasi pelbagai fakulti di kedua-dua universiti dengan objektif untuk melengkapkan pelajar di institusi pendidikan tinggi dengan pemahaman menyeluruh tentang konsep berkaitan tenaga.

Agensi lain yang turut bekerjasama dalam pembangunan kandungan modul adalah pakar isi kandungan daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mewakili pelbagai bahagian, jabatan dan pejabat pengurusan projek.

Penyampaian kurikulum Modul Literasi Tenaga ini adalah dalam bentuk kuliah interaktif dan gabungan pembelajaran berasaskan pengalaman dengan pendekatan pembelajaran berasaskan masalah.

Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman ini diadakan bersempena dengan The Energy Transition Conference 2023 yang diadakan baru-baru ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

UKM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dato’ Dr Wan Kamal Mujani, manakala UNITEN diwakili oleh Naib Canselor, Prof Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman.

Majlis ini disaksikan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Mohammad Yusof Apdal; Pengerusi TNB, Dato’ Abdul Razak Abdul Majid dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Dato’ Indera Ir. Baharin Din.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM, Prof Dato’ Dr Wan Kamal Mujani berkata kedua-dua pihak akan melaksanakan aktiviti penting seperti pertukaran pelajar dan penyelidik terbuka kepada semua bidang, jabatan dan kolej kedua-dua universiti.

“Kerjasama kedua-dua universiti ini adalah bagi menyahut cabaran Dasar Malaysia MADANI yang pertama iaitu berkaitan kemampanan serta Matlamat Pembangunan Lestari ke 7, 12, 13 dan 17 yang berkaitan dengan tenaga mampu milik dan bersih, kepenggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab, tindakan berkaitan iklim dan perkongsian untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari,” katanya.

Sementara itu, Dekan PPCU UKM, Prof. Dr. Khairul Anwar @ Johari Mastor, berkata sebagai sebuah fakulti yang bertanggungjawab terhadap penawaran Modul Literasi Tenaga di UKM, PPCU akan melakukan semua yang termampu untuk menjayakan pelaksanaan MoU antara kedua-dua universiti bagi tempoh lima tahun pertama ini.

MoU ini ditandatangani oleh UKM, yang merupakan salah sebuah universiti penyelidikan di Malaysia dengan hala tuju strategik untuk menjadi peneraju serantau dalam kecemerlangan akademik dan penyelidikan, dan UNITEN yang merupakan salah satu universiti swasta terkemuka di Malaysia yang dimiliki oleh TNB.

Leave a Reply