Enam Kakitangan Asnaf UKM Terima Bantuan Perumahan Zakat

Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 8 Februari 2024 – Enam orang kakitangan asnaf Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima Bantuan Perumahan Zakat UKM yang membolehkan mereka tinggal di Perumahan Bukit Puteri, UKM.

Simbolik penyerahan replika kunci rumah tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof Emeritus Dato’ Dr Mohamad Abd Razak, hari ini pada Majlis Perasmian Bantuan Perumahan Zakat Bukit Puteri UKM.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Hj Toriman dalam ucapannya berkata Bantuan Perumahan Zakat UKM merupakan bantuan tempat tinggal yang disediakan secara percuma kepada asnaf kakitangan yang memerlukan.

“Bantuan ini mula diwujudkan pada tahun 2018 melibatkan 10 unit rumah di Pangsapuri Cemara, Bandar Sri Permaisuri Cheras yang diberikan kepada 13 orang asnaf kakitangan Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk mendiami bagi tempoh yang ditetapkan.

“Kemudian bantuan ini diluaskan lagi dengan penambahan sebanyak enam unit di Pangsapuri Laman Midah, Taman Midah Cheras sepanjang 2021 hingga 2023 dengan kerjasama Pusat Perumahan Pelajar UKM,” katanya.

Beliau berkata program Bantuan Perumahan Zakat itu bertepatan dengan peranan Pusat Islam untuk menjadi pusat pembangunan sosial melalui usaha perpaduan, kebajikan dan aktiviti kemasyarakatan selaras dengan Pelan Strategik Pusat Islam UKM 2023 – 2026 di bawah inisiatif Projek Pembangunan 10 Rumah Asnaf Bukit Puteri UKM.

“Semoga dengan usaha ini dapat memastikan kebajikan dan kesejahteraan warga UKM khususnya kakitangan yang kurang berkemampuan terjamin dan terpelihara,” ujarnya.

Katanya, kerja-kerja pembaikan 10 unit rumah di Perumahan Bukit Puteri itu telah bermula pada Januari 2023 dan selesai pada Disember 2023 dengan kos keseluruhan berjumlah hampir RM 445,000.

“Saya berharap agar dengan pemberian bantuan ini dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung dan memberi keceriaan dalam meneruskan kehidupan dan perkhidmatan di UKM,” tambah beliau.

Sementara itu, seorang kakitangan yang menerima bantuan perumahan tersebut, Siti Norazimah Ahmat dari Institut Informatik Visual (IVI) mengucapkan terima kasih kepada UKM yang sudi memberi sebuah rumah yang cantik dan selesa kepadanya untuk didiami.

“Saya berasa gembira dan bersyukur dengan pemberian ini dan sangat-sangat berterima kasih kepada pengurusan UKM yang cakna dengan keperluan kakitangan,” katanya.

Pada majlis itu, semua Pengurusan UKM yang hadir turut berkesempatan melawat rumah-rumah Bantuan Perumahan Zakat Bukit Puteri bagi melihat hasil pengubahsuaian yang dilakukan demi keselesan kakitangan asnaf UKM.

Leave a Reply