Mahasiswa UKM-GSB Jayakan Inisiatif Tanggungjawab Sosial Santuni Penduduk FELDA

Oleh Muhammad Rashidul Amin Muhammad Rapingi (UKM-GSB)

TAWAU, 8 Februari 2024 – Sekumpulan mahasiswa program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) telah menjayakan program Umas Cakna Air di Felda Gugusan Umas, Sabah, baru-baru ini.

Program yang diadakan sehari ini bertujuan untuk mendapatkan pandangan dan reaksi penduduk berhubung perkhidmatan bekalan air selain membina hubungan baik dengan masyarakat setempat melalui aktiviti rewang rakyat, program mewarna dan cabutan bertuah.

Selain itu, sesi penerangan kesedaran penjimatan air dan lawatan sambil belajar ke loji rawatan air di Felda Gugusan Umas juga diadakan dan manarik perhatian penduduk setempat.

Masalah bekalan air yang sering terputus sejak 20 tahun lalu di kawasan Felda itu berlaku disebabkan oleh masalah loji air yang sedia ada telah terlalu lama dan tidak begitu produktif untuk menampung keperluan air semasa penduduk.

Sehubungan itu, program Umas Cakna Air yang dijalankan oleh kumpulan mahasiswa UKM-GSB yang dikenali sebagai Rainer dengan kerjasama strategik FIC IPM, iaitu sebuah syarikat milik penuh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) adalah bagi melihat keperluan kemudahan untuk rawatan air di kawasan itu.

Ia juga turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Kawal Selia FELDA), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Kumpulan Perbankan RHB, MSM Malaysia Holdings Berhad, Yayasan FELDA dan Hamburg University of Technology.

Bertemakan “Air Lestari, Komuniti Madani,” program yang merupakan tanggungjawab sosial itu telah dihadiri oleh hampir 1,000 penduduk  Felda tersebut.

Program Umas Cakna Air telah dihadiri oleh wakil daripada Bahagian Kawal Selia FELDA, Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Azlan  Johar. Turut hadir di majlis tersebut adalah Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Generasi (FELDA),  Dr. Nik Hasrul Mohd Zainudin.

Leave a Reply