eToyBox: Platform Pembelajaran Dalam Talian untuk Menangani Obesiti Kanak-Kanak

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Mohd Shahril Dzulkiflee

Kuala Lumpur, 28 Oktober 2023 – Dalam usaha untuk mengatasi masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia, platform pembelajaran dalam talian Bahasa Melayu pertama, eToyBox, telah dilancarkan dengan matlamat untuk mengubah landskap pendidikan kesihatan awal di negara ini.

Diketuai oleh pasukan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Roehampton, dan Universiti Durham, eToyBox bertujuan untuk menyediakan bahan pengajaran terhadap pendidikan tabiat sihat kepada para guru prasekolah.

eToyBox merupakan hasil inisiatif ToyBox Study Malaysia yang bertujuan untuk memaksimumkan jangkauan dan impak intervensi tingkah laku sihat yang berpusatkan prasekolah di seluruh negara.

Menurut Ketua Projek Malaysia ToyBox Study Malaysia, Profesor Dr Poh Bee Koon, kesesuaian kandungan modul dan kebolehgunaan platform eToyBox telah dinilai dan dimurnikan oleh para pakar pemakanan dan pendidik prasekolah.

“Dengan eToyBox, kami memperkenalkan pendekatan transformatif untuk menangani obesiti kanak-kanak dengan menyediakan pendidik dengan instrument yang diperlukan untuk membudayakan tabiat makan yang sihat dan tingkah laku gaya hidup yang sihat di kalangan kanak-kanak prasekolah.

“Inisiatif ini mewakili langkah penting ke hadapan dalam misi kami untuk memupuk amalan kesihatan dan kesejahteraan sepanjang hayat sejak usia muda, dan dengan itu membentuk masa depan yang lebih sihat bagi anak-anak negara kita,” kata Profesor Dr Poh yang juga merupakan Pengerusi Kluster Penyelidikan Kesihatan dan Perubatan Termaju UKM.

Beliau turut menekankan potensi eToyBox dalam memupuk budaya pendidikan kesihatan holistik dalam kalangan kanak-kanak peringkat usia awal.

“eToyBox bukan sekadar platform pembelajaran; ia merupakan alat transformasi yang memberi kuasa kepada pendidik untuk memperjuangkan amalan sihat dan menangani obesiti kanak-kanak.

“Kami teruja untuk melihat potensinya dalam mengubah landskap pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kajian kebolehlaksanaan yang dijalankan ke atas eToyBox telah membuahkan hasil yang memberangsangkan, menunjukkan potensinya untuk mengukuhkan pengetahuan, sikap dan efikasi kendiri pendidik dalam menerapkan amalan tingkah laku yang sihat di kalangan pelajar mereka.

eToyBox telah dilancarkan di Kuala Lumpur Engineering Science Fair (KLESF) 2023 oleh Pro Naib Canselor Strategi dan Pembangunan Korporat, Prof Dato’ Dr Roslee Rajikan.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan projek ini bagi universiti dan impak potensinya terhadap komuniti.

“Kami bangga menjadi sebahagian daripada inisiatif dengan pendekatan yang transformatif ini. Saya percaya bahawa platform eToyBox, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 3 (SDG 3) untuk Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik dan Matlamat 4 (SDG 4) untuk Pendidikan Berkualiti.

“Inisiatif ini akan memberikan sumbangan yang ketara kepada kesejahteraan generasi muda negara kami. Pendekatan inovatif ini adalah selari dengan komitmen kami untuk memupuk generasi yang lebih sihat dan berpengetahuan,” katanya.

Inisiatif ini, yang telah menerima dana berjumlah hampir £500,000 (iaitu sekitar RM 2.6 juta), daripada Newton-Ungku Omar Fund dan Newton Fund Impact Scheme dari United Kingdom Medical Research Council dan juga Malaysian Industry Government Group for High Technology (MIGHT), merupakan usaha kerjasama antara institusi akademik terkemuka di Malaysia dan United Kingdom.

Leave a Reply