Tajuk Rencana: Kenaikan Kos Sara Hidup: Strategi Kerajaan dalam Belanjawan Ekonomi Madani 2024

Penulis: Nurul Izzah Muhamad Ismail dan Dr. Velan Kunjuraman, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

Sepanjang tahun 2023, Malaysia telah bergelut dengan isu kenaikan kos sara hidup yang telah menimbulkan kegelisahan dalam pelbagai lapisan masyarakat. Hal ini berikutan dengan fenomena peningkatan harga barang dan perkhidmatan yang melebihi daripada paras normal. Oleh sebab itu, kerajaan perlu merangka strategi yang lebih agresif melalui inisiatif belanjawan Ekonomi Madani 2024.

Umumnya, faktor yang mencetuskan kepada isu kenaikan kos sara hidup adalah disebabkan oleh krisis keterjaminan makanan. Tidak dapat dinafikan bahawa kebergantungan terhadap ekonomi global telah mengakibatkan kebanyakan negara berhadapan dengan krisis ekonomi yang kian meruncing. Secara amnya, fenomena kebergantungan ini dapat dijelaskan melalui teori sistem dunia oleh Immanuel Wallerstein. Berdasarkan teori tersebut, negara-negara yang kaya dengan sumber ekonomi dan teknologi memiliki autoriti untuk mendominasi negara yang kurang daya pengeluarannya.

Dalam hal ini, Malaysia juga tidak terlepas dalam menjalankan kegiatan ekonomi berasaskan import dan eksport. Walau bagaimanapun, desifit perdagangan berlaku apabila hasil import negara sentiasa melebihi hasil eksport disebabkan oleh kebergantungan yang tinggi terhadap makanan import. Oleh itu, keadaan ini tidak mustahil menjadi ancaman kepada kelangsungan sekuriti makanan domestik yang pastinya akan membawa rakyat kepada episod peningkatan harga barang dan perkhidmatan.

Bertitik tolak kepada isu kos sara hidup, hal ini pastinya akan memberi impak kepada kualiti dan taraf hidup isi rumah. Umumnya, krisis inflasi yang melanda negara pastinya akan mengundang kepada isu mobiliti sosial yang kritikal. Dalam konteks isi rumah di Malaysia, mobiliti sosial boleh berlaku apabila golongan yang berpendapatan tinggi dan sederhana seperti T20 dan M40 beralih kepada status ekonomi yang lebih rendah seperti B40. Oleh hal yang demikian, senario ini sudah pasti akan menjejaskan taraf hidup isi rumah di Malaysia. Secara amnya, krisis mobiliti sosial ini benar-benar berlaku apabila ramai isi rumah yang mengalami penurunan terhadap kelas sosial dan ekonomi sejak pandemik Covid-19. Justeru, dalam kesibukan kerajaan untuk membantu golongan M40 dan B40 bagi meringankan tekanan ekonomi, timbul pula persoalan bagaimana dengan nasib golongan T20.

Adakah mereka ini tidak diberi peluang ekonomi yang sama rata seperti M40 dan B40? Atau tugas mereka hanya perlu membayar cukai semata-mata? Hakikatnya, golongan itu juga sedang berjuang dan bekerja keras dalam memastikan kestabilan hidup. Oleh sebab itu, masalah ini perlu diselesaikan melalui pendekatan yang seimbang agar tidak seperti ‘bagai limau masam sebelah’ dalam menghadapi krisis ini.

Justeru, sudah tiba masanya untuk membahaskan mengenai strategi yang diambil kerajaan dalam Belanjawan Ekonomi Madani 2024. Dalam belanjawan pada kali ini kerajaan telah merangka strategi penyelesaian di bawah Agenda Mampan dan Peralihan Tenaga. Melalui agenda ini, kerajaan akan terus memperhebat usaha pengeluaran makanan tempatan melalui kelangsungan agromakanan negara.

Maka, untuk menjayakan agenda ini, kerajaan telah memperuntukkan pelbagai insentif seperti subsidi dan juga bantuan kewangan kepada para pesawah dan nelayan. Bukan itu sahaja, kerajaan juga berhasrat untuk memulakan usaha pembangunan rintis penanaman padi dalam tempoh dua tahun di beberapa buah kawasan jelapang padi. Langkah ini sememangnya merupakan strategi jangka panjang kerajaan bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan tempatan sentiasa mencukupi.

Seterusnya, kerajaan juga telah memberi tumpuan kepada Agenda Peningkatan Darjat Hidup Rakyat melalui empat mekanisme utama. Antaranya ialah Program Payung Rahmah yang melibatkan pemberian bantuan secara kredit seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) selain perlaksanaan terhadap program-program lain seperti Pasar Rahmah dan jualan Rahmah. Kerajaan juga telah memperkenalkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) untuk golongan miskin tegar dibawah Insentif Pendapatan Bermakna selain memperkasakan Program MyFutureJobs dan menggalakkan golongan rentan untuk mendapatkan pekerjaan.

Seterusnya, dua mekanisme terakhir adalah melibatkan Penyaluran Bantuan Tunai melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Inisiatif Perlindungan Sosial seperti Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), i-Saraan KWSP serta i-Suri KWSP. Tegasnya di sini, strategi yang diambil kerajaan dalam Belanjawan Ekonomi Madani 2024 sangat berpotensi dalam mengurangkan impak kenaikan kos sara hidup yang ditanggung oleh isi rumah dan diharapkan inisiatif ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ekonomi khususnya dari golongan yang miskin tegar.

Leave a Reply