Fakulti Perubatan Anjur Persidangan Antarabangsa, Fokus Peranan AI dalam Pendidikan Perubatan

Oleh Prof Madya Noor Akmal Shareela Ismail
Foto Muhammad Zubair Kassim

KUALA LUMPUR, 12 Disember 2025 – Persidangan Artificial Intelligence in Medical Education (AIMEC) 2025 anjuran Fakulti Perubatan (FPER), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi wadah perbincangan peranan kecerdasan buatan (AI) dalam mentransformasikan pendidikan perubatan.

Memasuki edisi kedua penganjurannya, AIMEC mencatat penyertaan seramai 182 peserta yang merangkumi 127 peserta tempatan dan 55 peserta antarabangsa dari Qatar, Jordan, New Zealand, Thailand, Indonesia, Arab Saudi, Sudan dan Pakistan. Para peserta terdiri dari ahli akademik, pemimpin universiti, rakan industri, pensyarah serta pelajar perubatan.

Penganjuran AIMEC 2025 adalah usaha berterusan mengintegrasikan AI dalam pendidikan tinggi, selaras dengan keperluan latihan perubatan masa hadapan yang lebih adaptif dan berfokuskan pelajar.

Majlis perasmian AIMEC telah disempurnakan oleh Pro-Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid.

Beliau menekankan bahawa AI merupakan satu keperluan strategik dalam menyokong keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, namun tidak boleh menggantikan peranan manusia, khususnya dalam profesion perubatan.

“UKM terus komited melahirkan graduan yang yakin menggunakan teknologi baharu, tanpa mengabaikan nilai profesionalisme, empati, integriti dan khidmat bakti.

“Nilai-nilai ini akan sentiasa menjadi teras amalan perubatan, walau sejauh mana kemajuan teknologi dicapai.

 “AI harus berfungsi sebagai pemudah cara yang meningkatkan kecekapan dan kualiti pendidikan perubatan, tanpa mengabaikan nilai kemanusiaan, empati dan pertimbangan klinikal,” katanya.

Majlis perasmian turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara FPER dan DGA Healthcare Group.

Majlis ini turut dihadiri oleh barisan kepimpinan fakulti termasuk Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki, timbalan-timbalan dekan serta wakil institusi rakan.

AIMEC 2025 turut diserikan dengan Penyampaian Anugerah Student Pitching Competition (Edisi Sekolah) yang dimenangi oleh Epsom College dan Sekolah Menengah Agama MAIWP, sebagai usaha memupuk minat awal generasi muda terhadap inovasi AI dalam bidang kesihatan.

Leave a Reply