Program RiSER Satukan Penjagaan Penglihatan, Warisan Budaya dan Kerjasama Antarabangsa

Oleh Mohd Norhafizun Mohd Saman

PORT DICKSON, 5 Januari 2026 – Program khidmat masyarakat Restoring iSight, Embracing Roots (RiSER), yang juga merupakan program mobiliti pelajar antarabangsa, telah berjaya dilaksanakan  di Kampung Teluk Pelandok, Port Dickson dari 22 hingga 24 Disember 2025.

RiSER yang dianjurkan oleh Program Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diadakan bagi berkongsi kaedah  penjagaan kesihatan penglihatan serta penglibatan budaya bersama komuniti setempat .

Program ini memfokuskan kepada kepentingan kesihatan mata melalui aktiviti saringan penglihatan dan pengagihan kaca mata kitar semula kepada masyarakat yang memerlukan.

Inisiatif ini bukan sahaja membantu meningkatkan kualiti hidup komuniti, malah memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu dan kemahiran secara praktikal di luar bilik kuliah.

Menurut Dekan Fakulti Sains Kesihatan, Prof Dr. Suzana Shahar, program RiSER mencerminkan pendekatan pendidikan holistik yang menggabungkan penjagaan kesihatan, kelestarian dan kerjasama antarabangsa.

“Program RiSER dirangka untuk meningkatkan kesedaran penjagaan penglihatan, memupuk penglibatan komuniti serta menggalakkan amalan lestari melalui penggunaan kaca mata yang dikitar semula.

“Kami juga amat berbesar hati dengan kerjasama bersama rakan dari Konan University, Jepun yang memperkayakan pengalaman pembelajaran rentas budaya dan memperkukuh jaringan antarabangsa fakulti,” katanya.

Selain aktiviti penjagaan penglihatan, program ini turut menekankan penghayatan warisan budaya tempatan melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti aktiviti kebudayaan, kraftangan, sukaneka rakyat dan gotong-royong, yang berjaya mengeratkan hubungan antara universiti dan masyarakat setempat.

Program ini turut mencatat sejarah tersendiri sebagai program pertama yang dianjurkan di peringkat fakulti, hasil komitmen tinggi yang diketuai oleh Prof Dr. Haliza Abdul Mutalib bersama sokongan pensyarah,  pegawai optometri dan pelajar.

Seorang peserta antarabangsa, Haruki Hirota, pelajar Fakulti Ekonomi dari Konan University, menyatakan keterujaannya menyertai RiSER.

“Saya sangat gembira dapat menyertai program ini. Selain pengalaman pembelajaran yang bermakna, budaya dan makanan tempatan benar-benar memberi kenangan istimewa. Cucur udang dan rempeyek di sini sangat sedap dan menjadi pengalaman yang paling saya ingat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Teluk Pelandok, Abu Bakar Yusof, menzahirkan rasa syukur atas pemilihan kampung tersebut sebagai lokasi program.

“Kami amat berbesar hati dan berasa bertuah kerana kampung ini dipilih. Masyarakat setempat mendapat manfaat besar daripada pemeriksaan mata dan pemberian cermin mata percuma.

“Program seperti ini sangat membantu penduduk dan kami amat menghargainya,” ujarnya.

Secara keseluruhannya, program RiSER berjaya mencapai objektifnya dalam menitik beratkan penjagaan penglihatan, memperkukuh hubungan universiti–komuniti, menggalakkan kelestarian serta menyemai semangat kesukarelawanan dan pembelajaran sepanjang hayat.

Leave a Reply