Gugusan Hospital Pengajar Juara Keseluruhan Sukan Staf Antara Gugusan UKM 2023

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 11 Julai 2023 – Gugusan Hospital Pengajar terus mengekal kejuaraan apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Sukan Staf antara Gugusan UKM 2023 selepas mengumpul 12 pingat emas, lapan pingat perak dan lapan pingat gangsa, menewaskan enam gugusan yang lain.

Kejohanan Sukan Staf antara Gugusan UKM 2023 yang melabuhkan tirainya hari ini turut menyaksikan Gugusan Pentadbiran berada di kedudukan kedua dengan pungutan enam pingat emas, enam perak dan sembilan gangsa manakala tempat ketiga disandang oleh Gugusan Perkhidmatan dengan empat pingat emas, enam perak dan dua gangsa.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata kejohanan sukan tersebut memberi peluang dan ruang kepada staf UKM untuk mempamerkan bakat dan kebolehan dalam sukan yang disertai terutamanya kepada kumpulan professional dan pelaksana, para pensyarah dan juga staf pentadbiran yang mempunyai bakat terpendam selama ini.

“Bukan pingat yang kita kejar, tetapi apa yang penting adalah semangat setiakawan dan semangat kerjasama berpasukan antara kita.

“Di UKM, kita perlu berada dalam keadaan yang fit bagi memudahkan kita menjalankan tugasan seharian,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis penutup Sukan Staf antara Gugusan UKM 2023, di sini.

Kata beliau, aktiviti sukan ini akan menjadi platform kepada warga UKM bagi mewakili universiti dalam kejohanan sukan yang lain.

“Saya berharap kejayaan atlet staf UKM dalam kejohanan ini akan menjadi pembakar semangat untuk Kontinjen UKM bersaing dalam kejohanan yang lebih besar seperti Kejohanan Sukan Staf antara Universiti Awam, Kejohanan Sukan Badan Berkanun dan Kejohanan Sukan di peringkat Kebangsaan serta Antarabangsa,” katanya.

Kejohanan sukan staf yang bermula pada 22 Jun hingga 25 Jun 2023 bagi fasa pertama dan 6 Julai hingga 9 Julai 2023 bagi fasa kedua menyaksikan sebanayk 30 acara dipertandingkan termasuk acara balapan, esport, acara gelanggang, berbasikal dan acara padang.

Majlis penutup sukan tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abdul Razak. Hadir sama Pendaftar, Dato’ Dr Syed Kamarudin Sadakkatulla, yang juga merupakan Pengerusi Ahli Jawatankuasa Induk Kejohanan Sukan Staf antara Gugusan UKM 2023.

Leave a Reply