Fakulti Pendidikan UKM Bina Rangkaian Profesional dengan PTTI Group Sdn Bhd

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 13 Julai 2023 – Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalin hubungan strategik dengan PTTI Group Sdn Bhd melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membina rangkaian profesional melalui kepakaran dalam bidang pendidikan, keusahawanan dan penyelidikan.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industrri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin, kerjasama itu bakal mendedahkan mahasiswa, khususnya dari Fakulti Pendidikan, untuk melengkapkan diri ke arah kerjaya yang lebih mantap dan progresif memandangkan industri pendidikan adalah sangat dinamik.

“Kerjaya keguruan bukan hanya bersifat konvensional iaitu kerjaya dijanjikan wujud di sekolah, malah ia mungkin hadir dalam bentuk yang pelbagai, sama ada dari segi penyediaan modul, penulisan buku teks dan sokongan latihan keguruan, yang memerlukan pendedahan sebenar (real-life exposure).

“Seperti kita ketahui PTTI adalah satu organisasi pendidikan yang mengendalikan tuisyen, seminar, webinar dan konsultasi dalam bentuk bersemuka dan dalam talian bagi para pelajar dari seluruh Malaysia. Ia adalah salah sebuah pusat tuisyen yang paling popular di Malaysia dan berjaya memenangi pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Dengan itu, kita yakin bahawa kolaborasi ini akan memberi faedah kepada kedua belah pihak. Kita telah pun menghantar dua kohort pelajar menjalani latihan industri di PTTI pada tahun ini dan tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata pihak Fakulti Pendidikan juga turut menjemput PTTI menyertai webinar- webinar yang dijalankan, yang merupakan antara aktiviti yang dijalankan bersama selepas pemeteraian surat hasrat (LoI) yang ditandatangani bersama pihak fakulti pada tahun lepas.

Selain itu, katanya Fakulti Pendidikan juga turut menjemput pihak PTTI berkongsi pengetahuan dan latihan keusahawanan kepada para pelajar UKM.

“Saya berharap akan ada lagi pelbagai aktiviti lain yang akan dijalankan bersama di masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan PTTI Group Sdn Bhd, Siti Farhana Abu Osman berkata PTTI dan Fakulti Pendidikan akan bersama-sama menyediakan prasarana asas dengan objektif utama untuk memberikan persediaan awal kepada pelajar UKM yang berminat untuk menerima pendedahan dunia industri, seterusnya bersedia menghadapi realiti dunia kerjaya kepada mereka.

“PTTI juga berharap agar kerjasama yang dijalin ini berupaya meningkatkan motivasi, daya tahan mental dan fizikal selain mampu menjana aspirasi pelajar pada masa hadapan.

“Selain itu, kerjasama ini juga diharap dapat menjadi plus-point untuk pelajar-pelajar ini diterima masuk dalam industri kerjaya pilihan masing-masing dengan kualiti yang telah digilap selama menjalani Latihan Industri di PTTI,” katanya.

Kerjasama yang bakal memberi impak besar kepada kedua-dua pihak ini merangkumi penawaran latihan industri kepada pelajar prasiswazah Fakulti Pendidikan di PTTI Group, selain dibimbing dalam merancang dan melaksanakan pemasaran, jerayawara, tugasan pentadbiran serta pelbagai jenis bengkel secara bersemuka dan dalam talian.

Sebahagian daripada aktiviti kerjasama ini adalah penganjuran ceramah keusahawanan berkaitan bidang pendidikan di UKM, selain PTTI Group menghantar tenaga pengajar untuk melanjutkan pelajaran di UKM  diperingkat pasca siswazah. Dokumen MoU ditandatangani oleh Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah, disaksikan oleh Dekan Fakulti Pendidikan, Prof. Dr. Mohd Mahzan Awang yang mewakili UKM manakala PTTI diwakili oleh Siti Farhana dan disaksikan oleh Ketua Pegawai Operasi, Muhd Habibunajjar Sazali.

Leave a Reply