HEP-UKM Terima Tiga Buah Kenderaan, Mudahkan Pengurusan Aktiviti Mahasiswa

Oleh Phoon Li Juan @ Roovasini
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 16 Jun 2023 –  Anak syarikat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Geothermal Resources Sdn. Bhd. (GRSB) menyumbang tiga buah kenderaan kepada Pusat Hal-Ehwal Pelajar (HEP-UKM) bagi memudahkan pengurusan aktiviti pelajar.

Tiga kenderaan itu ialah dua buah pacuan empat roda Toyota Hilux dan sebuah Van Toyota Hiace, disumbangkan oleh syarikat tersebut sebagai tanda penghargaan kepada pihak HEP-UKM yang berperanan memberikan perkhidmatan secara langsung kepada pelajar-pelajar.

Selain itu, sumbangan itu juga dapat memberi kemudahan dalam pengurusan dan pemantauan aktiviti para pelajar serta menjadi pemudah cara dalam menguruskan soal-soal kebajikan secara keseluruhannya.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs.Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata sumbangan tersebut akan merancakkan lagi pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh para pelajar, penyelidik dan industri melalui kerja lapangan di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Canselor UKM atas tajaan nombor pendaftaran kenderaan khas iaitu UKM7001, UKM7002 dan UKM7003 bagi ketiga-tiga kenderaan ini,” katanya semasa majlis penyerahan kenderaan tersebut, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Pengasas Bersama GRSB, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hariri Arifin  berkata beliau berharap agar sumbangan itu akan dapat membantu UKM untuk terus cemerlang dalam usaha melahirkan modal insan yang berjiwa watan, menyumbang kepada negara dan masyarakat umum. Upacara penyerahan kenderaan tersebut dilakukan melalui simbolik penyerahan replika kunci yang disampaikan oleh Naib Canselor kepada Pengarah HEP-UKM, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman, sambil disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil dan pengurusan tertinggi UKM.

Leave a Reply