Persidangan AsiaEngage 2024 Bincang Isu Keusahawanan Sosial

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 6 Mei 2024 – Persidangan Serantau AsiaEngage 2024 (AE 2024) yang mengumpulkan ahli akademik, pencipta inovasi dan usahawan untuk membincangkan isu, berkongsi idea, dan mencadangkan penyelesaian berkenaan keusahawanan sosial.

Bertemakan ‘Keusahawanan Sosial dalam Kalangan Belia untuk Pertumbuhan Mampan Komuniti ASEAN dan Serantau’, AE 2024 adalah merupakan anjuran kali ke-6 yang diadakan setiap dua tahun.

Objektif utama Persidangan AE 2024 bertujuan untuk menyediakan platform dengan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu melalui hasil interaksi yang melibatkan guna sama kepakaran dan perkongsian platform terutamanya Institusi Pengajian Tinggi, industri, komuniti, agensi kerajaan dan organisasi bukan kerajaan untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat terutamanya golongan belia di ASEAN dan serantau bagi keusahawanan sosial.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin berkata universiti mempunyai potensi untuk membina ekosistem keusahawanan sosial yang berkembang pesat jika diteraju dengan betul.

“Walaupun pengangguran belia masih merupakan salah satu cabaran global terbesar, dikatakan bahawa keusahawanan sosial menawarkan laluan bagi belia untuk meneroka dalam usaha mereka untuk pembangunan mampan dan penciptaan pekerjaan yang inklusif.

“Golongan belia berupaya memacu perubahan positif. Semangat, kreativiti dan keazaman mereka menjadikan mereka pemimpin dalam bidang keusahawanan sosial, di mana inovasi atau produk yang dihasilkan dapat memberi impak kepada masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, institusi pengajian tinggi seperti UKM berfungsi sebagai hab kreativiti dan kerjasama, menghimpunkan pelajar, fakulti dan rakan kongsi komuniti untuk menangani isu-isu masyarakat yang kompleks.

“Dengan memupuk kerjasama antara disiplin dan menjalinkan hubungan merentas sektor, UKM membina persekitaran di mana keusahawanan sosial boleh berkembang maju,” katanya.

AE 2024 dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Persidangan ini merupakan anjuran Sekretariat Tetap ASEAN University Network Thematic Network for University Social Responsibility and Sustainability (AUN USR&S) yang berpusat di Pusat Jaringan Industri dan Komuniti (I-KOM) UKM.

Leave a Reply