Jumlah Pesakit Radang Usus di Malaysia Meningkat

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 23 Februari 2024 – Jumlah pesakit yang menghidap radang usus semakin meningkat di Malaysia, dengan pola peningkatan yang amat ketara sejak tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Pakar gastroenterologi dan hepatologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Raja Affendi Raja Ali berkata faktor genetik, persekitaran, pemakanan, pencemaran, pengambilan antibiotik dan ubat tahan sakit yang berlebihan dan stres yang berpanjangan juga menyumbang kepada berlakunya radang usus.

“Pengambilan pemkanan ultra-proses adalah penumbang utama penyakit radang usus di negara kita dan rantau Asia Pasifik.  Faktor geografi dan kaum turut menyumbang kepada perbezaan insiden prevalens penyakit radang usus di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata kajian menunjukkan penyakit radang usus direkodkan pada tahun 2011 hingga 2013 dengan 10 kes baharu di Perak, disusuli 25 kes di johor pada tahun 2016 dan dalam tempoh lima tahun, penyakit radang usus di Malaysia meningkat kepada 417 kes.

“Sekarang ini saya mempunyai lebih 1,200 pesakit yang menghidap penyakit radang usus. Apabila kita melihat peringkat epidemilogi yang dibentang di Lancet, kita telah membuktikan bahawa sekitar tahun 2000 ke atas, terdapat jumlah peningkatan penyakit radang usus yang ketara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Perdana Profesor bertajuk Rawatan Terkini Dan Hala Tuju Penyelidikan Berimpak Tinggi Penyakit Radang Usus di Malaysia, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata majoriti kaum lelaki lebih cenderung untuk menghidap penyakint itu berbanding wanita dan kaum India merupakan kaum yang tertinggi prevalens diikuti kaum Melayu dan kaum Cina.

“Kadar kemasukan pesakit ke hospital di Malaysia juga semakin meningkat sejak tahun 2000 dan ini memberi impak yang besar kepada negara terutamanya dari segi bebaban ekonomi,” ujarnya.

Katanya antara gejala atau simptom penyakit radang usus adalah cirit birit, sakit perut berpanjangan, penurunan berat badan, tidak ada selera makan, simptom menifestasi di luar usus, mata merah yang berpanjangan, sakit sendi dan sakit belakang yang lama.

“Simptom ini kadang-kadang tidak terlalu ketara kerana ia memakan masa untuk didiagnos. Menangnai penyakit radang usus ini tidak mudah seperti penyakit yang lain dan setiap pesakit adalah berbeza, dan pendekatan juga berbeza dan ubat-ubatan juga berbeza,” tambah beliau.

Menurut beliau, antara kaedah yang diagunakan dalam mendiagnos pesakit adalah melalui pemeriksaan klinikal, ujian rutin makmal, gastroskopi dan kolonoskopi.

“Saya nak berpesan agar mereka yang berumur 50 tahun ke atas perlu menjalani proses endoskopi bagi melihat keadaan usus, dan jika normal, ulangi lagi endoskopi ini dalam tempah 10 tahun lagi.

“Ini untuk mengesan kanser usus, dimana kanser usus ini adalah kanser nombor satu di Malaysia untuk lelaki dan kanser nombor dua untuk wanita,” katanya.

Katanya, beliau berharap saringan kanser usus ini menjadi agenda nasional bagi memberi kesedaran awal kepada masyarakat.

Prof Dr Raja Affendi juga berharap agar dengan adanya kepakaran tempatan dalam bidang gastroenterologi sub bidang pengkhususan penyakit radang usus di Malaysia, penyakit radang usus ini dapat ditangangi secara strategik dan menyeluruh.

“Inisiatif kerajaan memperkenalkan pelan strategik perubatan khusus (precision medicine) kena pada waktunya dan tidak mustahil suatu hari nanti kita dapat menangani penyakit ini dalam kalangan rakyat Malaysia dengan keupayaan kita menyediakan data pesakit yang tertumpu kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Leave a Reply