Kadar Elaun Pelajar Tajaan JPA dinaikkan RM100 Sebulan – Perdana Menteri

Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi & Ikhwan Hashim

BANGI, 14 Jun 2023 – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan kadar Elaun Sara Hidup (ESH) sebanyak RM100 sebulan kepada pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mengikuti pengajian dalam negara mengikut peringkat pengajian.

Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil dengan mengambil kira kos sara hidup yang tinggi, sekali gus membebankan golongan mahasiswa.

Katanya, keputusan itu dibuat apabila isu tersebut sering dibangkitkan oleh mahasiswa apabila beliau ke beberapa universiti.

“Apabila saya ke beberapa universiti, mereka (mahasiswa) membangkitkan perkara ini, iaitu takkan hanya lihat kepada isu pelajar tajaan JPA di luar negara sahaja. Mereka ini (pelajar dalam negara) tajaan JPA juga cemerlang, jadi, sebab itu ditambah peruntukan RM100 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Cakna Madani Perdana Menteri bersama pelajar tajaan JPA di institusi pendidikan tinggi di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini.

Selain itu, katanya, kerajaan juga turut bersetuju untuk memberi kenaikan sebanyak 15 peratus kadar ESH bagi pelajar tajaan JPA di luar negara, kecuali kepada pelajar Ijazah Pertama di United Kingdom (UK) kerana kadar elaun di sana telah dinaikkan pada 7 November 2022.

“Kenaikan semua kadar ESH tersebut melibatkan pertambahan implikasi kewangan dengan anggaran sebanyak RM52.03 juta bagi tempoh enam bulan mulai Julai 2023 yang akan memanfaatkan kepada 43,595 orang pelajar tajaan JPA,” ujarnya.

Dato’ Seri Anwar berkata kenaikan kadar ESH itu merupakan salah satu usaha kerajaan bagi menangani kenaikan kos sara hidup yang tinggi khususnya pelajar-pelajar B40 yang tinggal di bandar-bandar besar negara pengajian.

“Inisiatif semakan semula kadar ESH ini akan membolehkan pelajar-pelajar tajaan kerajaan memberi fokus kepada pencapaian kecemerlangan akademik tanpa memikirkan bebanan kewangan pengajian, di samping memastikan penawaran penajaan Kerajaan adalah kekal releven dan berprestij,” tambah beliau.

Lebih 2,500 pelajar tajaan JPA dalam dan luar negara hadir pada program ini secara fizikal dan dalam talian.

Program yang berkonsepkan soal jawab ini diadakan bagi menyantuni pelajar-pelajar tajaan JPA di universiti atas dasar ihsan MADANI selain berkongsi aspirasi dan hala tuju program Malaysia MADANI dan masa depan Malaysia. Antara yang hadir ke majlis ini ialah Menteri Pendidikan Tinggi; Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Setiausaha Negara; Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam; Dato’ Dr. Zulkapli bin Mohamed, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi; Dato’ Mohammad Yusof bin Apdal, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM; Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Razak Mohamad dan Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj Toriman.

Leave a Reply