Kerjasama UKM-Maybank Tingkat Literasi Kewangan

Oleh Murniati Abu Karim

Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 9 Jun 2023 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Maybank hari ini menjalinkan kerjasama strategik bagi meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan pelajar melalui program Hari FUNancial.

Naib Canselor, Prof Dato Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata jalinan kerjasama ini dapat memupuk serta mempertingkatkan pengetahuan pelajar dalam aspek pengurusan kewangan.

“Kerjasama ini merupakan satu inisiatif yang bermanfaat kepada pelajar UKM untuk memberi kesedaran terhadap cabaran perniagaan dalam talian, pengurusan kewangan, keusahawanan dan pelaburan.

“Pengalaman luas Maybank dalam industri perbankan, pelaburan dan sebagainya yang dikongsikan dalam program ini amatlah berharga dan saya berharap pelajar UKM dapat menyertai program dan mengambil manfaat sepenuhnya,” katanya.

Pada majlis yang sama, beliau turut menandatangani plak perasmian pembukaan cawangan Maybank@Campus dan Kafe He & She.

“Pembukaan cawangan Maybank@Campus di Kafe He & She menawarkan gabungan yang unik bagi mewujudkan persekitaran yang lebih santai serta menghidupkan kembali suasana di Bangunan Pusanika, UKM.

“Pelancaran kafe ini juga melambangkan satu lagi kejayaan UKM dalam meningkatkan inisiatif penjanaan yang berterusan dan merupakan salah satu daripada agenda utama universiti,” katanya.

Tambahnya, Kafe He & She yang berkonsepkan gaya hidup moden ini telah mula beroperasi sejak 16 Mei yang lalu dan merupakan cawangan yang ke-32.

Hadir sama, Perbankan Massa Maybank, Puan Mazlina Muhammad; Pengasas dan Ketua Pengarah Urusan Kafe He & She, Encik Zulkiflee Yusof; dan Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil.

Leave a Reply