MoA UKM dan IPEC Bakal Tingkatkan Kebolehpasaran Graduan UKM

Oleh Phoon Li Juan @ Roovasini
Foto Muhammad Izwan Azman

BANGI, 8 Jun 2023 – Pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dengan International Person Certification (IPEC) Bureau Sdn. Bhd. bakal meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan UKM.

Perjanjian MoA ini adalah lanjutan daripada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama pihak IPEC yang telah berlangsung pada 1 Julai 2022.

IPEC Bureau merupakan Biro Pensijilan ISO/IEC 17024:2012 yang diiktiraf sepenuhnya oleh Jabatan Standard Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani berkata jalinan kerjasama itu sejajar dengan usaha melengkapkan pengetahuan dan kebolehpasaran graduan UKM berdasarkan keperluan semasa pasaran dan industri.

Selain itu, katanya, Sijil profesional Lean Six Sigma yang ditawarkan oleh IPEC akan memberi peluang yang unik bagi pelajar untuk mempelajari aspek pengurusan strategik, peningkatan kualiti serta membangunkan semangat keusahawanan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IPEC Bureau Sdn. Bhd., Azman Zakaria dalam ucapannya telah menekankan kepentingan pensijilan individu yang bertauliah dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan serta pengiktirafan di peringkat serantau dan antarabangsa.

Katanya, persijilan individu ISO/IEC 17024:2012 diakui sebagai pemacu utama untuk transformasi ekonomi dan sosial. Dokumen perjanjian tersebut ditandatangani oleh Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal, yang mewakili UKM dan Azman Zakaria, mewakili IPEC Bureau Sdn. Bhd serta disaksikan oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Prof. Ir. Dr. Mohd. Syuhaimi Ab. Rahman.

Leave a Reply