KNOVASI Galakkan Kreativiti dalam Pendidikan

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 7 September 2023 – Kongres dan Pertandingan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran (kNovasi), bertindak sebagai platform penting dalam menggalakkan perkongsian hasil kreativiti dan inovasi peserta dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Acara tahunan anjuran Pusat Pengajaran dan Pembangunan Kurikulum Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini telah menerima 250 makalah serta inovasi yang diterbitkan dalam jurnal berindeks. Produk dan inovasi PdP yang telah dipertandingkan akan disebarluaskan di seluruh Malaysia dalam siri Majalah kNovasi.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Kassim berkata para peserta digalakkan untuk bertukar idea untuk meningkatkan inovasi masing-masing, sepanjang dua hari kongres berlangsung.

“Ini dapat membantu meningkatkan praktikaliti dalam menangani cabaran pasca pandemik, yang sepatutnya melibatkan pendekatan yang fleksibel, holistik, dan menyeluruh.

“Selain dari masalah akses terhadap pendidikan digital, cabaran yang dihadapi di dalam pendidikan di Malaysia adalah termasuk kepelbagaian etnik, bahasa, budaya, agama, pendidikan dan sistem sekolah, yang seterusnya memberi implikasi terhadap pelaksanaan dan promosi pendidikan inklusif.

“Inovasi idea pendidikan tanpa sempadan melibatkan persekitaran yang menggalakkan eksperimentasi, pengambilan risiko dan eksplorasi teknik yang terbaharu,” katanya.

Tambahnya, inovasi ini menggalakkan pendidik, penyelidik, penggubal dasar dan pihak berkepentingan lain untuk berfikir di luar fikiran dan mencabar norma sedia ada untuk memacu perubahan dan peningkatan yang bermakna dalam pendidikan.

 Dalam majlis yang sama, beliau turut melancarkan UKM MetaMOOC yang memerkasakan pengajaran dan pembelajaran imersif berasaskan metaverse (metagogy) serta penginterasian dan pembangunan metaverse di pelantar UKM MOOC.

Leave a Reply