LPIER5R Kumpul Lebih 130,000 Kilogram Barang Kitar Semula

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina

SUNGAI PETANI, 16 Oktober 2023 – Sebanyak 132,010.39 kilogram barang kitar semula berjaya dikumpulkan dalam tempoh enam bulan dari April hingga September 2023 melalui program Pengurangan Kesan Plastik Terhadap Alam Sekitar Melalui Modul 5R (Tolak, Kurang, Guna Semula, Kitar Semula dan Pulih) atau LPIE5R.

Program yang dilaksanakan di 80 buah sekolah menengah di seluruh Kedah turut melibatkan seramai 2,800 orang, terdiri daripada pelajar, guru, dan kakitangan sokongan.

Menurut Timbalan Dekan (Prasiswazah) Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Ir. Dr. Shuhaida Harun, kejayaan ini telah melampaui sasaran minimum yang ditetapkan dan menunjukkan komitmen peserta dalam usaha untuk mengurangkan penggunaan plastik.

“Program ini bukan sahaja mencapai sasaran minima tetapi turut menunjukkan impak yang besar dengan melibatkan hampir 5,250 individu dari keseluruhan 150 buah sekolah sepanjang program berjalan sejak tahun 2022.

“Kejayaan program LPIE5R di Negeri Kedah adalah langkah awal yang positif dalam mencapai matlamat ini dan membudayakan amalan kelestarian di kalangan masyarakat Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, dalam konteks Malaysia, data yang dikeluarkan oleh Tabung Alam Sedunia (World Wide Fund for Nature – WWF) menunjukkan Malaysia berada pada tangga kedua penggunaan plastik tertinggi di rantau Asia, dengan purata penggunaan plastik sebanyak 16.78 kilogram setahun.

Menurutnya, data ini adalah amat membimbangkan dan menunjukkan kebergantungan yang tinggi terhadap penggunaan plastik di kalangan penduduk Malaysia.

“Justeru, kerajaan Malaysia telah mengambil langkah proaktif dalam menangani masalah ini dengan memperkenalkan Pelan Hala Tuju Ke arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030.

“Pelan Hala Tuju ini bertujuan untuk mencapai aspirasi sifar penggunaan plastik sekali guna menjelang tahun 2030. Dengan hanya baki 7 tahun sebelum sasaran ini, usaha ini menjadi semakin penting,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kelestarian alam sekitar adalah tanggungjawab bersama kita, dan usaha ini penting untuk memastikan alam sekitar yang sihat dan lestari dapat diwarisi oleh generasi masa hadapan.

Leave a Reply