Makmal ALAF-UKM tawar pelbagai perkhidmatan edu-pelancongan kepada masyarakat

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

PEKAN, 13 Mac 2023 – Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal, Universiti Kebangsaan Malaysia (ALAF-UKM) bakal menjadi pusat edu-pelancongan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada masyarakat selain menjadi pusat penyelidikan dan pembelajaran.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata pewujudan ALAM-UKM itu adalah sejajar dengan hasrat UKM yang memfokuskan kepada penyelidikan bersifat komprehensif, dan pada masa yang sama memasyarakatkan kemudahan yang ada untuk manfaat masyarakat dan negara.

“Dengan empat lokasi utama makmal alami UKM iaitu di Timur, Selatan, Utara dan Tengah semenanjung Malaysia, ia dilihat mempunyai peluang yang besar untuk menjadi hub kepada pembangunan masyarakat setempat bukan sahaja dalam bidang penyelidikan flora dan fauna, malah edu-pelancongan, penghasilan pelbagai modul ilmiah dan penarafan makmal alami ke status antarabangsa seperti di bawah UNESCO dan sebagainya,” katanya.

ALAF-UKM  merupakan hasil penstrukturan semula tadbir urus empat buah makmal alami iaitu Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), Pusat Penyelidikan Bukit Fraser (PPBF), Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) dan Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin (EKOMAR) beserta  dua buah makmal fizikal iaitu Makmal Instrumentasi Berpusat UKM (i-CRIM) dan Makmal Bioserasi yang bertempat di UKM, Bangi. Kesemua makmal sebelum ini adalah di bawah tanggungjawab Pusat Tanggungjawab yang berbeza di UKM.

Selain dari menyediakan fasiliti sokongan penyelidikan, makmal-makmal alami ALAF-UKM turut menawarkan beberapa pakej edu-pelancongan seperti Forest Experience, Indigenous Explore, Tasik Chini Boat Tour, Night Walking, Bird Watching, Program Pengukuhan Pasukan dan Eksplorasi Sains. Selain itu, kursus pemandu pelancong juga ditawarkan di PPL sebagai satu usaha menaikkan pendapatan masyarakat setempat di Langkawi.

Mohd Ekhwan berkata dengan pelancaran ALAF-UKM ini, ia akan dapat membantu dalam mewujudkan ekosistem berpusat penyelidikan berteraskan perkhidmatan yang bersifat glokal.

“Kejayaan dan sumbangan besar setiap entiti di bawah ALAF-UKM terhadap pembangunan masyarakat dan negara juga diharap dapat diwar-warkan dengan lebih meluas kepada semua pemegang taruh seperti kerajaan, komuniti, industri, badan bukan kerajaan dan agensi antarabangsa.

“Semoga penubuhan ALAF-UKM dapat dijadikan sebagai contoh kepada institusi pendidikan tinggi yang lain dalam memberikan perkhidmatan berteraskan penyelidikan yang bermanfaat kepada masyarakat, industri dan negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Pusat Pengurusan Makmal Alami Dan Fizikal UKM (ALAF-UKM), di sini.

Katanya perkhidmatan makmal fizikal pula seperti i-CRIM dan Makmal Bioserasi telah berjaya menyokong dasar kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menghasilkan penyelidikan dan inovasi yang dapat memberi impak kepada masyarakat dan mempunyai daya pasaran yang tinggi untuk dikomersialkan sehingga ke peringkat global.

“Permintaan yang tinggi dari dalam negara dan antarabangsa bagi perkhidmatan Makmal i-CRIM dan Bioserasi ini juga merupakan satu peluang dan mempunyai potensi yang besar dalam meningkatkan penjanaan kewangan dan keserlahan UKM.

“Selain penjanaan dalam wang ringgit oleh Makmal i-CRIM dan Bioserasi, sumbangan besar pusat penyelidikan makmal alami dalam membantu masyarakat dan kerajaan setempat termasuk masyarakat asal juga amat penting diperkasakan selaras dengan aspirasi UKM sebagai sebuah universiti watan,” katanya.

ALAF-UKM adalah sebuah pusat perkhidmatan di UKM yang ditubuhkan bagi tujuan menyelaras dan memperkasa aktiviti penyelidikan dan perkhidmatan secara strategik dan terancang. Penubuhan ALAF-UKM merupakan antara langkah strategik bagi mencapai dua sasaran utama UKM iaitu meningkatkan Kebolehpasaran Graduan dan Penjanaan Pendapatan.

Leave a Reply