Oleh Ts Dr Ahmad Firdhaus Arham
BANGI, 6 Januari 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyambut baik pengumuman peruntukan RM15 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bagi pelaksanaan Dapur Siswa oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman berkata inisiatif itu disifatkan sebagai langkah tepat dan berimpak tinggi dalam menangani tekanan kos sara hidup mahasiswa, khususnya dalam memastikan keperluan asas seperti makanan sentiasa terjamin sepanjang tempoh pengajian.
“Sebagai universiti yang sentiasa mengutamakan kebajikan pelajar, UKM telah lebih awal melaksanakan pelbagai inisiatif sokongan secara berstruktur dan berterusan menerusi pendekatan e-Prihatin.
“Antara usaha sedia ada termasuk bantuan kebajikan bersasar, sokongan kesejahteraan mental dan emosi melalui aplikasi HaloKaunselor, serta intervensi segera kepada pelajar yang berdepan kekangan kewangan.
“Pendekatan ini mencerminkan komitmen jelas UKM dalam memastikan kebajikan pelajar ditangani secara menyeluruh dan berteraskan nilai ihsan,” katanya.
Tambah beliau, UKM juga telah melaksanakan Gerobok Rezeki di fakulti-fakulti sebagai inisiatif perkongsian makanan dan barangan keperluan asas yang boleh diakses oleh pelajar secara berhemah dan bermaruah.
Katanya, di peringkat kolej kediaman pula, pelaksanaan Menu Rahmah telah menyediakan pilihan makanan berkhasiat pada harga mampu milik, sekali gus membantu meringankan beban kewangan harian pelajar.
“Kedua-dua inisiatif ini telah memberi manfaat langsung kepada warga kampus dan menjadi sebahagian daripada ekosistem kebajikan UKM yang inklusif,” ujarnya.
Seiring dengan aspirasi Dapur Siswa KPT, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil memaklumkan bahawa UKM kini sedang giat merancang pelaksanaan Dapur Siswa UKM yang akan ditempatkan di lokasi strategik seperti Pusanika, Masjid UKM dan beberapa kolej kediaman.
“Inisiatif ini bakal melengkapkan usaha sedia ada, sekali gus memperkukuh jaringan sokongan makanan pelajar secara lebih tersusun, mampan dan berimpak tinggi,” katanya.
Lebih daripada sekadar penyediaan makanan, beliau berkata keseluruhan inisiatif itu mencerminkan pendekatan holistik UKM dalam memelihara kesejahteraan pelajar merangkumi aspek fizikal, emosi dan sosial.
“HEPA UKM komited untuk memastikan pelaksanaan setiap inisiatif kebajikan ini dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh agar tiada mahasiswa UKM yang tercicir atau berdepan isu kelaparan sepanjang tempoh pengajian.
“UKM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KPT dan Kerajaan Malaysia atas pengenalan inisiatif Dapur Siswa ini.
“Dengan sokongan berterusan semua pihak termasuk alumni, rakan industri dan NGO (badan bukan kerajaan), UKM akan terus memperkukuh peranannya sebagai universiti yang prihatin, berdaya tahan dan meletakkan kebajikan mahasiswa sebagai keutamaan utama,” kata beliau.

