Prof. Dr. Ismail Mohd SaiboonTerima Anugerah Fellow Academy SSH

Oleh Khairatul Nadia Ramli

KUALA LUMPUR, 14 Januari 2025 – Prof. Dr. Ismail Mohd Saiboon, Pensyarah Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), melakar sejarah apabila menerima Fellow Academy of Society for Simulation in Healthcare (SSH), Amerika Syarikat, bagi sesi 2025.

Lebih membanggakan lagi, Prof. Dr. Ismail merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang pernah menerima pengiktirafan ini, dan juga orang Asia keempat selepas Singapura, India, dan Taiwan.

Penganugerahan ini adalah pengiktirafan tertinggi yang diberikan kepada individu yang telah menyumbang secara signifikan dalam bidang simulasi kesihatan, bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Setiap tahun, hanya lapan hingga 20 individu di seluruh dunia yang berjaya dianugerahkan gelaran Fellow SSH. Sejak diperkenalkan pada tahun 2017, anugerah ini hanya diberikan kepada mereka yang telah menunjukkan sumbangan luar biasa dalam pengembangan simulasi kesihatan.

Prof. Dr. Ismail telah berkecimpung dalam bidang simulasi kesihatan sejak tahun 1997. Pengalaman awal beliau bermula ketika menjalani sangkutan di Monash University Center for Ambulance Paramedic Studies (MUCAPS)di Melbourne, Australia. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian dan latihan di WISER University of Pittsburgh, Amerika Syarikat, dan memperoleh pentauliahan Certified Healthcare Simulation Educator (CHSE) pada tahun 2016.

Sebagai perintis dalam bidang ini, Prof. Dr. Ismail telah memainkan peranan utama dalam pengembangan simulasi kesihatan di Malaysia. Beliau menubuhkan The Malaysian Society for Simulation in Healthcare (MaSSH)pada Disember 2016, yang kini telah berkembang di seluruh negara.

Selain itu, beliau juga telah menerbitkan dua buah buku penting mengenai pendidikan berasaskan simulasi, menerbitkan artikel jurnal, dan menyampaikan lebih daripada 20 kertas kerja di persidangan antarabangsa dan kebangsaan.

Selain menjadi pakar rujuk dalam projek-projek pembangunan simulasi di pelbagai institusi pendidikan tinggi, kementerian, dan agensi kesihatan, Prof. Dr. Ismail turut dilantik menjadi anggota dalam beberapa jawatankuasa antarabangsa. Antaranya termasuk jawatankuasa etika simulasi kesihatan, jawatankuasa SHAPES Asia-Pasifik, serta jawatankuasa penterjemahan kamus simulasi kesihatan.

Kejayaan Prof. Dr. Ismail bukan sahaja satu kebanggaan untuk beliau secara peribadi, tetapi juga satu pencapaian besar untuk Fakulti Perubatan UKM dan negara Malaysia. Sebagai alumni dan ahli akademik di UKM, beliau telah banyak mengangkat nama negara di persada antarabangsa dalam bidang simulasi kesihatan.

Semoga kejayaan beliau terus memberi inspirasi kepada generasi akan datang dalam memajukan bidang simulasi kesihatan di Malaysia dan di seluruh dunia.

Leave a Reply