UKM Lancar Klinik Literasi Bantuan dan Guaman

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman

BANGI, 30 Januari 2024 – Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan Klinik Literasi Bantuan dan Guaman (KLBG) bagi memberi perkhidmatan kepada orang awam yang berhadapan dengan konflik perundangan.

Selain itu, klinik ini juga bertujuan untuk memberikan pengetahuan dan kesedaran undang-undang dengan menganjurkan aktiviti di pelbagai institusi seperti sekolah, jabatan dan agensi kerajaan.

Pusat khidmat yang terletak di Wisma UNIKEB, Bangi ini merupakan pejabat kedua yang diwujudkan oleh UKM sebagai langkah untuk memudahkan akses bagi orang awam untuk mendapatkan nasihat guaman secara percuma.

Lokasi pertama pusat khidmat ini berada di Fakulti Undang-Undang, UKM.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin yang merasmikan klinik itu berkata pembukaan pejabat operasi KLBG di Wisma UNIKEB ini juga merupakan langkah proaktif untuk meningkatkan usaha membantu masyarakat. percuma.

“KLBG juga memperkenalkan beberapa perkhidmatan baharu merangkumi perkhidmatan Mediasi, Kaunseling Kekeluargaan dan Perkhidmatan untuk Orang Kurang Upaya (Cacat Pendengaran).

“Perkhidmatan ini diperkenalkan melalui usaha sama dengan Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Pusat Khidmat Keluarga Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan pelantikan pensyarah dari Fakulti Pendidikan UKM sebagai panel penterjemah bahasa isyarat,” katanya.

Beliau turut berharap agar KLBG lebih dikenali oleh orang awam seiring dengan peningkatan pendaftaran kes.

Leave a Reply