Tangani Obesiti dengan Prosedur ESG

Oleh Murniati Abu Karim
Foto oleh Izwan Azman

Obesiti merupakan antara punca utama kepada pelbagai masalah kesihatan serius seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, hati berlemak, masalah tidur dan sakit sendi. Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, sebanyak 54.4 peratus atau kira-kira 11 juta rakyat dewasa di Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obesiti.

Bagi menangani isu ini, pelbagai kaedah rawatan telah diperkenalkan, antaranya penggunaan ubat-ubatan, rawatan belon, pembedahan serta pengamalan gaya hidup sihat dan aktif.

Terkini, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi hospital pengajar dan hospital kerajaan pertama yang menjalankan prosedur Endoscopic Sleeve Gastroplasty (ESG) bagi merawat obesiti.

Menurut Pakar Perunding Bedah dan Ketua Unit Surgeri UGI, Metabolik dan Bariatrik HCTM, Prof Madya Dato’ Dr Nik Ritza Kosai Nik Mahmood, ESG merupakan prosedur endoskopik yang bertujuan mengecilkan saiz perut sehingga 70 peratus menggunakan teknik jahitan khas.

“Prosedur ini hanya mengambil masa satu hingga dua jam di bawah sedasi ringan atau anestesia. Pesakit biasanya boleh pulang pada hari yang sama dan kembali menjalani aktiviti harian dalam beberapa hari,” jelas beliau.

Setakat ini, tiga pesakit telah menjalani prosedur ESG di HCTM sejak Mac lalu dan semuanya telah discaj tanpa sebarang komplikasi.

Tambah Dr. Nik Ritza, ESG terbukti berkesan dalam membantu penurunan berat badan sehingga 49 peratus dalam tempoh setahun, atau sekitar 15 hingga 16 peratus daripada jumlah berat badan keseluruhan.

Beliau turut menegaskan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan obesiti sebagai penyakit.

“Rawatan obesiti bukan sekadar untuk menurunkan berat badan. Ia adalah satu usaha merawat penyakit itu sendiri kerana obesiti merupakan ‘ibu’ kepada lebih 100 masalah kesihatan. Jika kita merawat obesiti, kita juga menyelesaikan banyak penyakit lain yang berkaitan,” katanya.

Salah satu penyakit yang sering dikaitkan dengan obesiti ialah hati berlemak.

Menurut Pakar Gastroenterologi HCTM, Dr. Deborah Chew Chia Hsin, keadaan ini biasanya tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal dan sering berlaku tanpa disedari.

Jika tidak ditangani, ia boleh berlarutan menjadi masalah yang lebih serius seperti fibrosis hati, sirosis, malah kanser hati, jelasnya.

Tambah beliau, jika lemak dalam hati belum menyebabkan keradangan, penurunan berat badan sebanyak tiga peratus sudah memadai untuk mengatasinya.

“Namun, jika hati mengandungi banyak kumpulan lemak dan telah mengalami keradangan, pesakit perlu menurunkan sekurang-kurangnya lima peratus berat badan dalam tempoh setahun.

“Apabila keradangan semakin teruk, penurunan berat badan sebanyak tujuh peratus diperlukan, dan jika hati sudah berparut, pesakit perlu mengurangkan berat badan sebanyak 10 peratus,” katanya.

Hati berlemak terjadi apabila lebih daripada 50 peratus kandungan hati terdiri daripada lemak.

Menurut Dr Deborah, apabila lebih 50 peratus lemak terkumpul, sel-sel inflamasi akan diaktifkan untuk memusnahkan lemak tersebut, yang akhirnya menyebabkan kerosakan pada sel-sel hati dan menghasilkan keradangan yang dikenali sebagai Siato Hepatitis.

Jika keradangan ini tidak ditangani dalam jangka panjang, ia boleh berkembang menjadi fibrosis, iaitu parut pada hati, jelasnya.

“Pada peringkat ini, sekiranya penurunan berat badan tidak mencukupi untuk mengurangkan 50 peratus lemak dalam hati, parut akan menyebabkan hati mengecut, yang akhirnya menjadi sirosis hati.

“Setelah hati mencapai tahap sirosis, ia tidak lagi dapat dipulihkan. Kehilangan fungsi hati seperti penyahtoksinan dan pengimbangan cecair akan menyebabkan hati berhenti berfungsi sepenuhnya,” katanya.

Sehubungan itu, Dr. Deborah menyarankan agar pesakit yang mengalami obesiti dan hati berlemak menurunkan berat badan melalui pelbagai kaedah, termasuk ESG.

Katanya, ESG merupakan pilihan rawatan yang kurang invasif dan tidak melibatkan pembedahan dalam.

“Ia membantu mengurangkan berat badan dan boleh memperbaiki masalah hati berlemak serta penyakit metabolik yang lain, terutamanya jika digabungkan dengan gaya hidup sihat,” ujar beliau.

Leave a Reply