UKM Bantu Mahasiswa Tangani Isu Kenaikan Kos Sara Hidup

Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman
Naib Canselor
Universiti Kebangsaan Malaysia

Isu peningkatan harga barangan dan peningkatan kos sara hidup telah mendapat perhatian yang khusus oleh kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi. Melalui kenyataan media YB Menteri Pengajian Tinggi bertarikh 4 Julai 2022, KPT komited untuk memastikan bantuan berterusan diberikan kepada mahasiswa melalui pelbagai inisiatif. Ini melibatkan pelaksanaan moratorium bayaran sewaan selama enam bulan mulai Julai 2022 kepada pengusaha dan penyelia perkhidmatan makanan di dalam kampus IPT awam dan terus memperkasakan inisiatif Bakul Makanan Siswa yang melibatkan pelbagai Kementerian, Badan Bukan Kerajaan (NGOs), Syarikat Korporat dan badan-badan persendirian.

Bagi menyahut seruan KPT dan kerajaan dalam mengurangkan impak kos kenaikan harga barangan ini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga bersetuju untuk melaksanakan beberapa pendekatan segera bagi membantu mahasiswanya.

Justeru, UKM melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) bersama Kesatuan Mahasiswa UKM, telah mula mengenalpasti pelajar-pelajar kurang berkemampuan dari golongan B40. Beberapa program yang telah dilaksanakan akan digerakkan segera, seiring dengan hasrat UKM yang mahu memastikan kebajikan para mahasiswa sentiasa terjaga. Antaranya, meneruskan Program Sumbangan Food@Campus hasil inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan pemberian Kupon/Baucer Makanan yang dikhaskan kepada kumpulan pelajar B40 serta melaksanakan Program Bakul Makanan Sihat. UKM menyediakan inisiatif (tanggungan penuh/sebahagian) dengan memperkenalkan pakej makanan serendah RM3.50 untuk harga sepinggan nasi, lauk dan sayur yang dikhaskan kepada kumpulan pelajar B40 yang telah dikenalpasti. Pemantauan berkala akan diambil oleh Pengetua-pengetua kolej penginapan bagi memastikan makanan yang disediakan sentiasa berkualiti dan menyihatkan. Bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan asas diberikan secara percuma kepada pelajar-pelajar dan ini memberikan manfaat kepada lebih 8,000 pelajar kurang berkemampuan. Sepanjang tempoh 2021, pihak HEP UKM juga telah membuat agihan bantuan kepada 4107 orang pelajar, dengan jumlah sumbangan mencecah RM204,610.00. Manakala pada tahun 2020 pula, bantuan bakul makanan sebanyak RM979,089.00 telah diagihkan kepada 4028 orang pelajar.

Selain itu, pelajar-pelajar ini akan dibantu melalui tabung bantuan pelajar dan melalui Pusat Zakat UKM. Usaha ini sedikit sebanyak membantu pelajar-pelajar untuk membeli keperluan harian mereka. Bagi mereka yang terkesan dan benar-benar memerlukan bantuan, boleh berhubung dengan Pusat Zakat UKM bagi permohonan bantuan. Untuk inisiatif ini, dianggarkan RM4.5 juta bantuan umum pelajaran termasuk sara hidup bagi tahun 2022 telah diperuntukkan bagi memastikan kebajikan pelajar terpelihara. Untuk rekod, Zakat UKM juga telah memberikan bantuan kepada pelajar dengan jumlah keseluruhan mencecah RM 5,613,276.00. Antara bantuan yang disalurkan adalah Bantuan Umum Pelajaran 2021 & 2022 (Jumlah RM4,815,200.00), Bantuan Insentif Kecemerlangan (Jumlah RM107,600), Bantuan Khas Pelajar Baharu Sem 1 Tahun 1 (Jumlah RM203,000), Bantuan Sokongan Pengajian (Jumlah RM56,015), Bantuan Mobiliti (Jumlah RM33,000), Bantuan Musibah (Jumlah RM68,500), Bantuan Perubatan (Jumlah RM12,561) dan Bantuan Komputer Riba (Jumlah RM317,400). Dengan pengenalan inisiatif-inisiatif ini, adalah diharapkan agar beban mahasiswa dapat dikurangkan bagi meneruskan kehidupan mereka di kampus, seterusnya membantu supaya lebih fokus di dalam pengajian masing-masing.

Selain itu, UKM melalui kolej-kolej penginapannya juga telah bersetuju untuk terus memastikan harga makanan di kafetaria kolej tidak terlalu mahal dan berpatutan. Untuk itu, UKM bersetuju untuk menyokong inisiatif KPT melalui pelaksanaan moratorium bayaran sewaan selama enam bulan mulai Julai 2022. Inisiatif ini diharap dapat membantu pengusaha-pengusaha kafetaria di dalam kampus sekaligus dapat menyerap kos peningkatan harga makanan dan minuman. UKM berharap agar segala inisiatif segera ini boleh membantu mahasiswanya untuk meneruskan pengajian dengan lebih selesa. Kita juga berharap agar lebih banyak sumbangan daripada para alumni dan badan-badan korporat bagi menambah bantuan terutama kepada mahasiswa daripada keluarga B40. Keperihatinan yang ditunjukkan adalah selari dengan Tujuh Rangka Tindakan Kesejahteraan Pendidikan Tinggi yang menekankan beberapa aspek tertentu seperti kesejahteraan komuniti dan kecemerlangan institusi. Kebajikan pelajar merupakan suatu tanggungjawab moral yang sentiasa menjadi tumpuan utama pentadbiran universiti. Justeru, agenda ini perlu dilestarikan agar pelajar mampu menumpukan sepenuh daya usaha untuk mengukir kejayaan yang membanggakan dan mengharumkan nama universiti.

Leave a Reply