Akademia disaran untuk Terus Menulis dan Berkarya

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 9 September 2023 – Akademia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) disaran untuk terus menulis, berkarya dan merancang untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara, kata Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Kassim.

Beliau berkata kemajuan teknologi dan penggunaan media sosial yang semakin meningkat boleh dijadikan  salah satu medium yang perlu dikuasai oleh semua pendidik.

“Kaedah pembelajaran baharu ini perlu dikuasai oleh semua akademia memandangkan dunia tanpa sempadan ini memperlihatkan teknologi harus dikuasai dalam pelbagai aspek.

“Masa tetap berubah, namun adab dan tradisi ilmu secara bersemuka harus disantuni oleh semua akademia bagi melihat graduan terus mencapai kejayaan pada masa akan datang,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Bulan Akademia Peringkat UKM Tahun 2023, di Persada Canselori.

Prof Dr Mohammad berkata UKM sentiasa berusaha untuk melahirkan graduan yang mempunyai pemikiran kritis, kreatif, dan inovatif, serta bersedia untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara secara holistik.

“Ia juga menekankan peranan akademia sebagai pusat penyelidikan dan pemikiran yang relevan dan memberi impak positif terhadap masyarakat.

“UKM juga tidak hanya bertanggungjawab dalam melahirkan graduan cemerlang, tetapi juga berkomitmen terhadap kemajuan dan kesejahteraan masyarakat dan negara secara menyeluruh,” katanya.

Dengan tema “Akademia Pemacu Malaysia Madani”, ia menekankan peranan akademia atau institusi pendidikan tinggi dalam memacu kemajuan dan perkembangan Malaysia ke arah masyarakat madani.

“Dalam konteks Malaysia kini, gagasan Malaysia Madani yang berlandaskan ciri-ciri kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan sangat perlu untuk dititik beratkan dalam kehidupan kita terutamanya dalam bidang akademik yang mana ianya juga selari dengan konsep TERAS UKM sebagai universiti watan. “Inisiatif seperti ini menggariskan bahawa pentingnya pendidikan tinggi dalam membentuk individu yang berpengetahuan, beretika, dan komited terhadap pembangunan negara. Ia juga menekankan pada nilai-nilai masyarakat sivil seperti kebebasan, keadilan, kesaksamaan, dan keharmonian,” katanya.

Leave a Reply