Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
PUTRAJAYA, 23 Januari 2025 – Pusat Pengajiaan Siswazah Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) bakal menjadi ‘Top Business School’ berdasarkan pencapaian cemerlang pusat pengajian tersebut.
Dekannya, Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul berkata pencapaian itu adalah sesuatu yang amat membanggakan kerana pusat pengajiaan tersebut menawarkan program siswazah pengurusan perniagaan setanding dengan program akademik yang ditawarkan oleh universiti terkemuka dunia.
“UKM-GSB terus mengorak langkah menjelmakan dampak sebuah sekolah perniagaan melalui pelbagai strategi berpaksikan tujuan yang jelas iaitu pemerkasaan sumber manusia dan penjanaan pendapatan.
“Pelbagai strategi dan perubahan yang telah berlaku di UKM-GSB selari dengan paksi tersebut termasuklah jenama organisasi, pengurusan kewangan lestari, budaya kerja, pengambilan pelajar antarabangsa, penyelidikan serta penerbitan berimpak tinggi,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Kolaborasi Gemilang dan Pelancaran Buku UKM-GSB, di sini.
Pada majlis itu, Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang, Dato’ Dr Mohamad Abdul Hamid yang hadir merasmikan program itu telah melancarkan 15 buah buku yang terdiri dari pelbagai latar belakang kepakaran, termasuk pengurusan sumber manusia, pengurusan pemasaran, serta pengurusan kewangan.
Beliau berkata penjenamaan dan budaya baharu UKM-GSB berpandukan model kelestarian perniagaan telah terbukti apabila imej dan reputasi yang cemerlang dicapai UKM-GSB sehingga menjangkau sasaran penjanaan pendapatan yang ditetapkan.
“UKM-GSB kini mampu berdiri sendiri atas landasan serta model perniagaan yang jelas seiring dengan matlamat membantu UKM mencapai agenda penjanaan pendapatan (IG) di samping memastikan kebolehpasaran graduan (GE),” ujarnya.
Selain itu, tambah beliau UKM-GSB juga telah memperoleh pengiktirafan akreditasi antarabangsa The Alliance on Business Education and Scholarship for Tomorrow (ABEST21) bermula 2015.
“ABEST21 adalah sebuah agensi penarafan global bagi bidang pengurusan dan harta intelek di peringkat pendidikan tinggi. Pemerkasaan kualiti pendidikan perniagaan ini dicapai apabila UKM-GSB juga telah mendapat pengiktirafan akreditasi antarabangsa yang menjadi impian setiap sekolah perniagaan iaitu The Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB),” jelasnya.
