UKM Hargai Jasa dan Sumbangan Para Pesara

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman

BANGI, 5 Disember 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meraikan seramai 165 orang pesara yang telah dan akan bersara bagi tempoh dari Januari hingga Disember tahun ini dalam Majlis Sanjungan Budi.

Mereka terdiri daripada pesara wajib, pesara pilihan dan dibersarakan atas sebab kesihatan dan yang telah meninggal dunia ketika dalam tempoh perkhidmatan.

Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua para pesara terhadap sumbangan dan jasa yang telah dicurahkan.

“Persaraan bukanlah suatu pengakhiran, malah merupakan suatu perubahan fasa baharu dalam meniti kehidupan.

“Segala kepakaran dan pengalaman yang diperoleh semasa berkhidmat boleh menjadi aset untuk terus menyumbang bakti terutamanya kepada masyarakat seperti melalui kegiatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau lain- lain platform yang sesuai,” katanya.

Tambahnya, pesara boleh mendaftar sebagai ahli Persatuan Pesara UKM bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan yang disediakan oleh pihak universiti.

“Pihak persatuan sentiasa berusaha bersama pengurusan Universiti dalam menjaga kebajikan ahli. Usaha ini dapat dilihat antaranya melalui peluasan skop penggunaan Kad Pesara UKM.

“Para pesara dapat menikmati kemudahan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan sendiri serta mendapatkan kemudahan perkhidmatan di Perpustakaan Tun Seri Lanang dan Perpustakaan Cabang UKM.

“Para pesara juga layak menikmati diskaun bagi perkhidmatan di Poliklinik UKM Kesihatan, penggunaan dewan UKM dan kemudahan penginapan di makmal alami UKM,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Pendaftar, Bendahari, Pustakawan dan pihak pengurusan tertinggi universiti.

Leave a Reply