UKM Lancar Hab Warisan Digital

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 16 Mei 2024 – Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan Hab Warisan Digital bagi memperkayakan kajian warisan budaya menggunakan teknologi digital kontemporari.

Penubuhan Hab Warisan Digital ini melibatkan projek transformasi Istana Puteri Bongsu sebagai sebuah Pusat Pendigitalan Warisan oleh ATMA dalam memperkasakan kelestarian kajian warisan budaya dengan nafas baharu menerusi teknologi digital.

Selaku penjaga istana yang diamanahkan oleh Jabatan Muzium Malaysia (JMM), ATMA memimpin usaha untuk menjadikan istana ini sebagai hab warisan digital di UKM dengan menubuhkan galeri yang berkonsepkan realiti terimbuh (augmented reality-AR) dan realiti virtual (virtual reality-VR).

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin berkata hab ini mengintegrasikan teknologi AR dalam memaparkan seni bina dan keunikan istana sesuai dengan fungsinya sebagai hab pembelajaran interaktif. Penubuhan hab ini bertujuan mencipta inovasi baharu dalam pemuliharaan budaya dan warisan Melayu secara digital.

“Ia juga berfungsi sebagai pusat pendidikan digital dalam bidang warisan budaya dan alam Melayu, sekaligus mempromosikan Istana Puteri Bongsu kepada masyarakat. Melalui inisiatif ini, ATMA berusaha menyebarkan maklumat tentang warisan budaya kepada khalayak luas.

“Pelbagai topik berkaitan warisan budaya diberi perhatian dan keutamaan oleh ahli akademik UKM terutama mengenai kelestarian budaya tempatan melibatkan falsafah, amalan, pengekalan dan pengiktirafan.

“Dalam mengangkat ketamadunan Melayu, cabaran kini memperlihatkan kebolehcapaian objek warisan tampak dan bukan tampak yang seharusnya selari dengan teknologi kecerdasan buatan semasa.

“Sebagai usaha mengatasi masalah ini, UKM akan meneruskan komitmen dan usaha mendigitalkan bahan berkaitan warisan budaya bagi meluaskan capaian masyarakat,” katamya.

Pelancaran Hab Warisan Digital ini disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pada majlis ini juga turut berlangsung pemeteraian perjanjian perlesenan antara UKM melalui Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu dan Pusat Penyelidikan Selangor (SRI) bagi mempamer naskhah dan manuskrip berusia ratusan tahun dalam Festival Turath Islami Selangor pada 26 Mei hingga 2 Jun ini.

Perjanjian ini membolehkan Projek Naratif Al Wahyu – pameran yang memuatkan bahan pendidikan dan penyelidikan manuskrip Alam Melayu – dilindungi sebagai harta intelek UKM.

Leave a Reply