Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman
BANGI, 16 Januari 2025 – Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meraikan 99 graduan sulung Sijil Profesional Pengurusan Peruncitan yang terdiri daripada Pengurus Kawasan 99 Speed Mart.
Program Sijil Profesional yang diuruskan oleh UKM Pakarunding Sdn. Bhd. ini merupakan inisiatif strategik bagi menyokong hasrat 99 Speed Mart dalam meningkatkan kemahiran tenaga kerja sektor peruncitan.
Program ini merangkumi tujuh modul utama yang dibangunkan secara khusus oleh tenaga pakar FEP UKM dan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.
Menurut Dekan FEP, Prof. Dr. Mohd Azlan Shah Zaidi, Program Sijil Profesional Pengurusan Peruncitan ini dijalankan dalam usaha membekalkan peserta dengan pengetahuan teoretikal dan praktikal yang diperlukan bagi mengoptimumkan kefahaman dan pengetahuan dalam bidang pengurusan peruncitan.
“Program Sijil Profesional Pengurusan Peruncitan ini dilihat mampu menjadi pemangkin kepada peserta untuk membina kebolehan menguruskan organisasi runcit dengan lebih berkesan.
“Hal ini sejajar dengan peranan mereka dalam organisasi selain bertepatan dengan keperluan semasa dalam industri peruncitan yang bergerak pantas dan penuh dengan persaingan.
“Program ini bukan sahaja mencerminkan komitmen bersama UKM dalam meningkatkan tahap kompetensi dan kemahiran dalam sektor peruncitan, tetapi juga memperkukuhkan hubungan antara akademia dan industry,” katanya.
Beliau juga berharap agar sijil profesional sebegini mampu berperanan sebagai nilai tambah kepada tenaga berkemahiran tinggi negara, dan berupaya menjadi salah satu inisiatif perkembangan ilmu.
