‘Wajah Malaysia dalam Gurindam Lagu-Lagu’ Ketengah Kajian Identiti Bangsa Malaysia

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 19 Oktober 2023 – Buku ‘Wajah Malaysia dalam Gurindam Lagu-Lagu’ yang membincangkan lagu dan identiti bangsa Malaysia harus menjadi satu punca kajian yang baharu, kata Pengasas Yayasan BUDI, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim.

Hasil karya sulung Felo Penyelidik Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shazlin Amir Hamzah itu memberi fokus kepada pembentukan jenama negara Malaysia dengan meneliti lagu-lagu patriotik popular tempatan di atas susur masa sejarah antara tahun 1950 hingga 1969, termasuk lagu Negaraku.

Tan Sri Rais menyifatkan buku ini sebagai sebuah sumbangan kepada tamadun dan negara yang memberi nilai kepada sesuatu masyarakat.

Buku ini mengandungi pemikiran teoretikal berhubung bangsa negara.

“Kita berasa bangga bahawa pimpinan tentang kajian etnik, pengajian Institut Alam dan Tamadun Melayu di UKM terus diagungkan,” katanya ketika majlis pelancaran buku tersebut di Bangunan Canselori, UKM.

Beliau turut mencadangkan perwajahan Malaysia harusnya selepas ini tidak hanya tertumpu kepada muzik tetapi ditambahbaik kepada pembudayaan dan cara hidup.

Sementara itu, Dr Shazlin berkata, buku ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan lagu-lagu dan identiti bangsa dan memberi pencerahan mengenai alat analisis yang baharu dalam memahami konteks identiti dan bangsa.

“Simbol utama dan naratif sejarah kolektif yang dimasukkan ke dalam senikata gurindam lagu-lagu ini merupakan elemen penting bagi mempertahankan kelangsungan dan ketahanan sifat etnik masyarakat tempatan yang berkongsi sejarah yang sama.

“Secara keseluruhannya, buku ini memberi suatu gambaran mengenai bangsa Malaysia yang dipersembahkan dalam gurindam lagu-lagu patriotik popular sehingga menjadi wajah negara yang dapat dilihat kini.

“Perkongsian daripada buku ini diharapkan dapat menjadi rujukan kepada pembaca dalam memahami penjenamaan bangsa Malaysia dan latar belakang suasana susur masa sejarah sosiopolitik negara,” katanya.

Beliau juga berharap agar penulisannya ini dapat menyumbang kepada lompang dalam pemahaman dan menjadi rujukan bagi Malaysia dan negara pasca-kolonial yang lain.

Leave a Reply