Jabatan Biokimia Fakulti Perubatan
Program White Coat Preview telah berjaya dilaksanakan pada 17 Mac 2026 dari pukul 10.00 pagi hingga 12.30 tengah hari di Dewan Peperiksaan, Aras 2, Bangunan Praklinikal, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras, Kuala Lumpur. Dianjurkan oleh Jabatan Biokimia, Fakulti Perubatan, UKM, program ini telah menerima penyertaan seramai 34 orang peserta yang terdiri daripada lepasan SPM dari SMISTA MAIWP (Batch Hercynite) dan SBPI Rawang (Batch Evonix), serta pelajar program asasi dan prauniversiti yang berminat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.
Program dimulakan dengan sesi pendaftaran, diikuti dengan ceramah bertajuk “The Future of Medicine: Opportunities and Pathways” yang disampaikan oleh Dr Nuraqila Mohd Murshid. Sesi tersebut memberikan peserta pendedahan yang bermanfaat berkaitan laluan pendidikan perubatan, peluang baharu dalam sektor penjagaan kesihatan, serta prospek kerjaya pada masa hadapan dalam bidang perubatan. Peserta turut mengikuti sesi perkongsian inspirasi oleh Dr Nurly Syakirin Mohd Arshad, alumni perubatan UKM, yang berkongsi pengalaman serta perjalanan beliau sepanjang pengajian di sekolah perubatan.
Bagi memberikan gambaran secara langsung mengenai kehidupan pelajar di Fakulti Perubatan, peserta telah dibawa melawat beberapa kemudahan utama termasuk Dewan Kuliah, Makmal Serbaguna (MPG Lab), Bilik Penempatan Haiwan, Bilik Perbincangan Kumpulan Kecil, Makmal Simulasi Klinikal dan Muzium Anatomi. Lawatan ini membolehkan peserta merasai sendiri persekitaran pembelajaran serta kemudahan yang disediakan kepada pelajar perubatan.
Program diakhiri dengan sesi fotografi. Secara keseluruhannya, program ini berjaya meningkatkan kesedaran peserta terhadap pendidikan perubatan serta memberi inspirasi kepada mereka untuk mempertimbangkan kerjaya dalam bidang penjagaan kesihatan.