Jabatan Biokimia Fakulti Perubatan
Lawatan Khidmat Masyarakat ke Pusat Jagaan Nur Hasanah telah berjaya dianjurkan oleh Jabatan Biokimia, Fakulti Perubatan, UKM dengan kerjasama Kelab Wanita UKM pada 23 April 2026 di Pusat Jagaan Nur Hasanah, Kampung Sesapan Kelubi, Beranang, Selangor. Program ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan jabatan dalam penglibatan komuniti dan tanggungjawab sosial.
Ditubuhkan pada tahun 2006, Pusat Jagaan Nur Hasanah berfungsi sebagai rumah transit bagi pesakit yang telah dibenarkan keluar dari hospital tetapi tidak mempunyai ahli keluarga yang boleh menjaga mereka. Pusat ini turut menempatkan warga emas, orang kurang upaya serta saudara baharu (mualaf) yang memerlukan sokongan dan penjagaan. Penghuni pusat ini dirujuk oleh Jabatan Kerja Sosial Perubatan hospital serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Lawatan ini bertujuan untuk memberikan bantuan kewangan dan sokongan moral kepada para penghuni di samping memupuk nilai kasih sayang, empati dan semangat kebersamaan dalam kalangan peserta. Aktiviti yang dijalankan sepanjang program termasuk penyampaian sumbangan tunai kepada pihak pengurusan pusat, pengagihan duit raya kepada penghuni, aktiviti rekreasi ringan, permainan dalaman, sesi interaksi sosial serta jamuan makan tengah hari bersama para penghuni.
Program ini telah disambut baik oleh pihak pengurusan dan penghuni pusat jagaan tersebut. Secara keseluruhannya, lawatan ini berjaya mengeratkan hubungan antara pihak universiti dan komuniti serta memupuk nilai-nilai kebaikan, keprihatinan dan saling membantu. Ia juga memberi peluang bermakna kepada para peserta untuk menyumbang secara positif kepada kesejahteraan golongan rentan dalam masyarakat.