Skip to main content

Jabatan Biokimia Fakulti Perubatan

JABATAN BIOKIMIA

FAKULTI PERUBATAN, UKM

Bengkel Analisis Fungsi Mitokondria 2.0

Bengkel Analisis Fungsi Mitokondria 2.0 bertemakan “Unlocking Disease Secrets: Dive into the Cellular Universe with Agilent’s Real-time Mitochondrial Analyzer” telah berjaya dianjurkan oleh Jabatan Biokimia, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 19–20 Mei 2026. Dilaksanakan secara hibrid, bengkel ini menghimpunkan penyelidik, pelajar pascasiswazah, dan ahli akademik yang berminat dalam metabolisme sel dan penyelidikan mitokondria.

Bengkel selama dua hari ini memberikan pendedahan teori dan praktikal yang menyeluruh kepada peserta berkaitan analisis fungsi mitokondria menggunakan teknologi Agilent Seahorse. Hari pertama menampilkan beberapa siri ceramah oleh pakar dari Genomax Technologies Sdn. Bhd. dan UKM, yang merangkumi aplikasi penyelidikan mitokondria, Seahorse Mito Stress Assay, serta sesi perkongsian pengalaman pengguna. Peserta turut diperkenalkan kepada perkakasan XF HS Mini Analyzer dan aliran kerja assay, diikuti lawatan ke Makmal Kultur Sel di Jabatan Biokimia.

Pada hari kedua, peserta terlibat dalam sesi makmal secara hands-on yang melibatkan XF Cell Mito Stress Assay Kit, termasuk penyediaan sampel, pelaksanaan assay, dan pengumpulan data. Bengkel ini diakhiri dengan sesi mendalam mengenai analisis data menggunakan perisian Seahorse Analytics, yang membolehkan peserta mentafsir dan membentangkan dapatan eksperimen dengan berkesan.

Secara keseluruhannya, bengkel ini berjaya meningkatkan pengetahuan dan kemahiran teknikal peserta dalam analisis fungsi mitokondria, memperkukuh keupayaan penyelidikan, serta menggalakkan kerjasama dalam kalangan penyelidik dalam bidang penuaan, metabolisme, imunologi, dan kajian penyakit berkaitan sel.