Pusat-HEARS

 Transforming Lives with Hearing

Maklumat Umum

Masalah Pendengaran

Punca Masalah Pendengaran

BOLEHKAH BAYI LAHIR DENGAN MASALAH PENDENGARAN?

Ya, kira-kira 3 – 4 dalam setiap 1000 bayi dilahirkan dengan masalah pendengaran. Ujian saringan pendengaran pada bayi yang baru lahir dapat membantu untuk mengesan masalah pendengaran pada peringkat awal. Malah, kebanyakan hospital utama di Malaysia menjalankan ujian saringan pendengaran ke atas bayi yang dilahirkan di hospital.

PUNCA MASALAH PENDENGARAN

Masalah pendengaran boleh diklasifikasikan kepada dua iaitu masalah pendengaran yang wujud sejak lahir (congenital) ataupun masalah pendengaran yang berlaku selepas waktu kelahiran pada bila-bila masa atas sebab-sebab tertentu (acquired).

LEBIH AWAL LEBIH BAIK

Pengesanan awal masalah pendengaran adalah sangat penting. Kanak-kanak yang dikenalpasti bermasalah pendengaran dan mendapat intervensi seawal umur 6 bulan, berpotensi untuk bertutur dan mempunyai perkembangan bahasa pada tahap yang sama dengan kanak-kanak sebaya yang mempunyai pendengaran normal.

APAKAH FAKTOR-FAKTOR YANG MENINGKATKAN RISIKO MASALAH PENDENGARAN PADA KANAK-KANAK?

Kanak-kanak mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami masalah pendengaran jika ia mengalami mana-mana perkara berikut:

  • Terdapat ahli keluarga yang mempunyai masalah pendengaran bersifat kekal sejak kecil
  • Ibunya mengalami jangkitan berikut semasa mengandung: cytomegalovirus, herpes simplex, rubella, syphilis, toxoplasmosis, zika
  • Kebimbangan ibu bapa mengenai pendengaran pertuturan dan bahasa kanak-kanak.
  • Kelewatan perkembangan yang menyeluruh
  • Menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) lebih daripada 5 hari dan mengalami salah satu daripada yang berikut:
    • Mempunyai berat ketika lahir yang sangat rendah (kurang daripada 1.5 kg)
    • Mempunyai jaundis yang memerlukan pemindahan darah
    • Memerlukan bantuan pernafasan
    • Menerima ubat-ubatan yang menyebabkan kerosakan pada organ pendengaran

       

  • Bayi yang mendapat jangkitan selepas lahir, contoh: meningitis, campak, beguk
  • Kanak-kanak yang mempunyai struktur kepala – muka yang tidak normal
  • Kanak-kanak yang mengalami kecederaan pada kepala
  • Kanak-kanak yang mempunyai sindrom berkaitan dengan masalah pendengaran
  • Kanak-kanak yang menjalani rawatan kanser
  •  
Tahap Masalah Pendengaran

Masalah pendengaran boleh dibahagikan kepada 4 tahap iaitu ringan, sederhana, teruk dan sangat teruk. Tahap masalah pendengaran ini hanya boleh dikenal pasti setelah anda menjalani ujian pendengaran sama ada secara saringan ataupun diagnostik. Audiologis anda akan berbincang dengan anda tahap masalah pendengaran dan apakah limitasi pendengaran pada tahap tersebut.

Gambarajah berikut membantu anda untuk kenal pasti apakah contoh bunyi yang anda boleh dengar pada setiap tahap masalah pendengaran. Sekali lagi diingatkan, rujuk audiologis untuk anda tahu dengan lebih lanjut berkenaan tahap masalah pendengaran dan limitasinya.

Tanda-tanda & Simptom Masalah Pendengaran Bagi Dewasa

Kita boleh kenal pasti seseorang itu sama ada bayi, kanak-kanak, remaja, atau dewasa mempunyai masalah pendengaran ataupun tidak. Tanda-tanda & symptom seperti di bawah menunjukkan berkemungkinan seseorang itu mempunyai masalah pendengaran. Semakin banyak tanda-tanda & symptom ini terdapat pada individu tersebut, semakin tinggi kemungkinan untuk mereka mempunyai masalah pendengaran.

APAKAH ANDA BERPENDENGARAN NORMAL?

  • Sukar untuk mendengar perbualan melalui telefon
  • Bercakap dengan suara yang kuat
  • Menonton televisyen (TV) atau mendengar muzik dengan volum yang kuat
  • Sukar memahami perbualan dalam keadaan bising atau berkumpulan
  • Sering meminta orang lain untuk mengulang perbualan
  • Sering merasakan orang lain cakap tidak jelas atau terlalu perlahan
  • Bunyi berdesing dalam telinga
  • Rakan/ahli keluarga mengatakan anda ada masalah pendengaran
  • Sukar mendengar dan memahami suara kanak-kanak dan wanita
  • Mengasingkan diri daripada berbual atau hadir ke majlis social seperti majlis perkahwinan, kenduri atau ceramah agama
Tanda-tanda & Simptom Masalah Pendengaran Bagi Kanak-kanak

ADAKAH ANAK ANDA MENDENGAR?

  • Tidak terkejut/ terjaga daripada tidur oleh bunyi yang kuat
  • Tindak balas yang tidak konsisten terhadap bunyi
  • Tidak mempedulikan anda apabila dipanggil
  • Tidak bertutur pada usia 18 bulan
  • Kelihatan seperti tidak memberi perhatian
  • Sentiasa menaikkan bunyi televisyen atau tablet atau telefon bimbit
  • Sentiasa meniru perbuatan orang lain untuk mengikut arahan
  • Membaca gerak bibir terutamanya apabila berkomunikasi
  • Bercakap dengan sangat kuat
  • Mempunyai kesalahan dalam sebutan
  • Sering salah faham dalam memahami arahan
  • Kerap meminta orang lain untuk mengulang
  • Mempunyai kelambatan bertutur berbanding adik-beradik yang lain
  • Menunjukkan prestasi akademik yang lemah, atau guru mengadu tentang tingkah laku mereka di sekolah
Kesan Masalah Pendengaran Bagi Dewasa

Bagi remaja atau dewasa yang mempunyai masalah pendengaran, akan terdapat pelbagai masalah lanjutan yang boleh memberi kesan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Oleh itu, elakkan daripada menangguh untuk pemeriksaan pendengaran agar kesan-kesan masalah pendengaran ini dapat dibendung.  

Komunikasi

Komunikasi sesama keluarga, rakan sekerja, saudara rapat akan terjejas.

Pendidikan

Kesukaran untuk menghadiri majlis ilmu atau menyambung pengajian disebabkan oleh kesukaran mendengar ketika sesi pengajian

Peluang Kerjaya

Peluang kerjaya yang terhad dan berkemungkinan diberhentikan kerja akibat kesukaran untuk berkomunikasi

Emosi

Marah, kecewa, malu antara perasaan yang selalu dihadapi oleh individu bermasalah pendengaran kerana selalu tersalah tafsir maklumat yang dibincangkan

Kesunyian & Mengasingkan Diri

Individu bermasalah pendengaran akan berasa kesunyian dan cuba mengasingkan diri daripada majlis sosial untuk mengelak daripada berkomunikasi dengan orang lain

Kesan Masalah Pendengaran Bagi Kanak-kanak

Pengesanan awal masalah pendengaran adalah sangat penting. Kanak-kanak yang dikenalpasti bermasalah pendengaran dan mendapat intervensi seawal umur 6 bulan, berpotensi untuk bertutur dan mempunyai perkembangan bahasa pada tahap yang sama dengan kanak-kanak sebaya yang mempunyai pendengaran normal.

Perkembangan Pertuturan & Bahasa

Kelewatan dalam perkembangan pertuturan dan bahasa

Sosial

Kurang penglibatan dalam aktiviti sosial atau bermain dalam kumpulan

Tingkah Laku

Bermasalah dalam menurut arahan atau menumpukan perhatian di dalam kelas

Kognitif

Menjejaskan perkembangan mengenal suara, memori dan berfikir

Emosi

Mengasingkan diri, kurang keyakinan diri dan masalah emosi yang lain

Pencapaian Akademik

Prestasi akademik yang lemah

Otak & Pendengaran

MASALAH PENDENGARAN MENYEBABKAN OTAK PENDENGARAN TERKUNCI

Masalah pendengaran, iaitu kerosakan pada bahagian telinga luar, telinga tengah atau telinga dalam boleh menghalang laluan bunyi ke otak pada kuantiti dan kualiti yang mencukupi.

Oleh yang demikian, penghubungan sel-sel saraf di bahagian auditori otak tidak berkembang dengan baik, sehingga menyebabkan perkembangan pendengaran dan bahasa yang terhad.

Ini adalah kerana kita mendengar dengan otak. Otak yang akan terima semua maklumat audio dan proses mentaksir maklumat tersebut menghasilkan tindakan.

“MEMBUKA” LALUAN KEPADA BUNYI UNTUK KE OTAK

Penggunaan alat pendengaran seperti alat bantu dengar dan implan koklea membantu untuk “membuka” laluan kepada bunyi untuk ke otak di mana proses “mendengar” berlaku.

Berikut merupakan perkara yang anda boleh lakukan untuk pertumbuhan otak mendengar anda:

  • Memastikan anda memakai alat bantu dengar sepanjang masa kecuali masa tidur
  • Memberi ransangan bunyi secara konsisten
  • Bekerjasama dengan terapis pertuturan untuk mempelajari teknik pengajaran anak anda dalam aktiviti seharian
Mitos Pendengaran

Telah banyak berlegar-legar fakta dan mitos dalam kalangan masyarakat berkenaan pendengaran. Mitos di bawah ini disanggah dan disertakan sekali fakta di sebalik mitos tersebut.

FAKTA 1:

Boleh mendengar atau terkejut kepada bunyi yang kuat bukan bermakna anak anda mempunyai pendengaran yang normal. Kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran tahap ringan ke sederhana, atau masalah pendengaran hanya pada sebelah telinga sahaja, masih boleh memberi tindak balas terhadap bunyi. Namun, masalah pendengaran tahap ringan ke sederhana akan memberi kesan kepada perkembangan pertuturan, bahasa dan kognitif.

FAKTA 2:

Ini mungkin kerana anak anda melihat anda, ataupun anda memanggilnya dengan suara yang kuat. Cuba panggil anak anda daripada belakang dengan menggunakan suara yang perlahan untuk memastikan sama ada anak anda boleh mendengar suara anda atau tidak.

FAKTA 3:

Anak anda mungkin melakukan arahan tersebut mengikut rutin dan bukan kerana dia boleh mendengar dan memahami arahan anda. Cuba berikan arahan lain yang bukan aktiviti rutin anak anda.

FAKTA 4:

Segelintir kanak-kanak yang lambat bercakap mempunyai masalah pendengaran. Sekiranya anak anda tidak mula bercakap pada umur 18 bulan, minta dirujuk untuk pemeriksaan pendengaran.

FAKTA 5:

Terdapat kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran yang boleh mendengar dan bercakap sekiranya masalah mereka dikesan awal dan diurus dengan menggunakan bahasa pertuturan.

FAKTA 6:

Alat bantu pendengaran akan diprogramkan mengikut tahap masalah pendengaran anak anda. Ianya tidak akan merosakkan pendengaran sekiranya diprogramkan dengan betul.

FAKTA 7:

Alat bantu pendengaran boleh dipakai oleh sesiapa sahaja yang mempunyai masalah pendengaran tanpa mengira umur.

FAKTA 8:

Kanak-kanak mempelajari bahasa melalui pembelajaran secara langsung dan tidak langsung. Sekiranya anak anda tidak memakai alat bantu pendengaran, anak anda tidak dapat mendengar suara anda dengan jelas dan situasi ini akan memberi kesan kepada perkembangan bahasa anak anda.

FAKTA 9:

Anak anda akan suka untuk memakai alat bantu pendengaran sekiranya alat tersebut memberi manfaat kepadanya. Anda perlu memberi motivasi kepada anak anda secara konsisten dan perkenalkannya kepada bunyi-bunyi yang bermakna dan aktiviti yang seronok. Dapatkan idea dan cadangan daripada audiologis anda.

 

FAKTA 10:

Sekiranya masalah pendengaran tersebut pada tahap teruk ke sangat teruk, alat bantu pendengaran mungkin tidak mampu untuk membantu mereka. Dalam kes ini, implan koklea adalah pilihan yang terbaik. Walau bagaimana pun alat bantu pendengaran boleh membantu jika masalah pendengaran di tahap ringan ke sederhana. Kanak-kanak memerlukan rangsangan bahasa yang cukup untuk mereka mempelajari bahasa tanpa mengira tahap masalah pendengaran. Dapatkan maklumat dengan lebih lanjut daripada audiologis atau terapis pertuturan bahasa.

FAKTA 11:

Tidak semua masalah pendengaran boleh diselesaikan hanya dengan menguatkan suara. Masalah pendengaran akan menyebabkan seseorang itu sukar untuk mendengar dengan jelas. Bagi membantu menambahbaik kejelasan pertuturan, alat bantu dengar diperlukan dengan sedikit tetapan dilakukan mengikut jenis dan tahap masalah pendengaran anda. 

 

FAKTA 12:

Masalah pendengaran yang tidak dirawat akan meningkatkan risiko kognitif merosot. Kerana otak akan kekurangan ransangan dan akibatnya adalah otak terpaksa bekerja keras untuk memahami setiap perkataan yang orang lain tuturkan. Masalah pendengaran bukan sekadar masalah pendengaran dan ia melibatkan kemampuan otak anda jangka masa panjang. Jangan biarkan masalah pendengaran ini membelenggu diri anda, jumpalah audiologis dan berbincanglah dengan mereka berkenaan rawatan terbaik untuk masalah pendengaran anda.

 

FAKTA 13:

Pengguna alat bantu dengar secara puratanya menunggu lebih kurang hampir 10 tahun untuk mendapatkan rawatan bagi masalah pendengaran. Dalam tempoh menunggu tersebut, komunikasi bersama pasangan dan keluarga tersayang telah terjejas dan semakin sukar difahami. Selain itu, pengasingan diri mula berlaku dan risiko masalah kesihatan yang lain akan mula meningkat. Jangan tunggu, dan jumpalah audiologis untuk bantuan bagi masalah pendengaran anda.

Alat Bantu Dengar

Pengenalan

Kalau dibandingkan alat bantu dengar dengan cermin mata, sudah tentu lebih ramai mengenal cermin mata berbanding alat bantu dengar. Bukan itu sahaja, disebabkan alat bantu dengar ini tidaklah sangat terkenal, ramai di antara individu yang bermasalah pendengaran tidak memilih untuk menggunakan alat bantu dengar untuk kehidupan seharian.

Sehinggakan ada yang beranggapan bahawa masalah pendengaran boleh diatasi dengan menjerit atau menguatkan suara. Walaupun alat bantu dengar ini bukanlah bertujuan untuk memulihkan masalah pendengaran, namun besar jasanya dalam memastikan pengguna alat bantu dengar dalam meningkatkan kualiti hidup yang sama seperti individu berpendengaran normal. Jom kenali alat bantu dengar dengan lebih lanjut.

Jenis Alat Bantu Dengar

Secara amnya, terdapat DUA jenis alat bantu dengar di pasaran

1. Alat bantu dengar belakang telinga

2. Alat bantu dengar dalam telinga

Jenama Alat Bantu Dengar

Terdapat pelbagai jenama alat bantu dengar di pasaran Malaysia. Pesakit perlu jalani sesi cubaan untuk memilih alat yang sesuai dan terbaik.

  • Oticon
  • Sonic
  • ReSound GN
  • Signia
  • Starkey
  • Unitron
  • Phonak
  • Bernafon
  • Widex
  • Interton
Limitasi Alat Bantu Dengar

Alat bantu dengar ini masih mempunyai limitasi yang mana-mana teknologi sedang berusaha sedaya upaya untuk mengatasi masalah ini. Antara limitasi bagi alat bantu dengar adalah :

  • Bunyi yang dihasilkan daripada alat tidak sama seperti apa yang boleh didengar oleh telinga normal – namun setelah menggunakan alat bantu dengar dalam beberapa minggu, otak akan terbiasa pada bunyi yang dihasilkan. Kebiasaannya pada beberapa hari awal sahaja pengguna alat bantu dengar akan perasan pada perbezaan bunyi yang dihasilkan oleh alat bantu dengar.

  • Alat bantu dengar tidak direka untuk mendengar dalam jarak lebih daripada lingukngan 2 meter daripada pengguna alat bantu dengar. Kebolehan mikrofon untuk menangkap bunyi tersebut hanyalah dalam jarak yang dekat. Namun, limitasi ini boleh diatasi dengan aksesori tambahan yan membolehkan pengguna alat bantu dengar boleh mendengar dengan jarak lebih daripada 10 ke 20 meter!!

  • Bunyi bising atau bunyi hingar latar belakang adalah merupakan musuh utama bagi alat bantu dengar. Kebanyakan alat bantu dengar sekarang sudah mempunyai teknologi yang boleh mengurangkan bunyi bising namun masih belum boleh mengurangkan bunyi bising secara total. Para pengguna alat bantu dengar perlu menjauhkan diri daripada bunyi bising yang menganggu untuk mendengar dengan lebih baik.
Harga Alat Bantu Dengar

Harga alat bantu dengar adalah antara RM1800 hingga RM 3500 seunit. Harga ini bergantung kepada tahap masalah pendengaran dan juga jenis alat. Harga seunit bagi alat bantu dengar jenis belakang telinga di hospital kerajaan dan hospital universiti adalah sedikit berbeza berbanding di hospital swasta dan pusat alat bantu dengar

Bantuan Kewangan Untuk Alat Bantu Dengar

Pesakit yang layak, boleh memohon bantuan pembelian alat bantu dengar. Contoh agensi yang menawarkan bantuan adalah : 

  • Baitulmal
  • Badan Bukan Kerajaan (NGO)
  • Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
  • Veteran
  • Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
  • Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
  • FELDA
  • Jabatan Kerja Sosial Perubatan
  • Tabung Bantuan Perubatan Hospital, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Implan Koklea

Pengenalan

Alat bantu dengar juga terdapat jenis implan. Implan adalah sesuai untuk individu yang bermasalah pendengaran dan tidak dibantu dengan hanya menggunakan alat bantu dengar yang konvensional. Seperti contoh, individu yang mempunyai masalah pendengaran tahap teruk ke sangat teruk. Implan dapat membantu mendengar setelah mencuba alat bantu dengar dan sudah berbincang dengan audiologis bahawa pengguna menerima sangat sedikit atau tiada manfaat daripada alat bantu dengar. Oleh itu, implan adalah pilihan lain yang sesuai bagi memastikan pengguna dapat mendengar dan meningkatkan kualiti hidup seperti individu berpendengaran yang normal.

Jenis Alat Implan Koklea

Secara amnya, terdapat DUA jenis alat implan koklea di pasaran :

  1. Implan koklea dua unit : Pemproses bunyi disangkut belakang telinga beserta dengan gegelung magnet di kepala
  2. Implan koklea satu unit : Pemproses bunyi berserta magnet di kepala
Jenama Alat Implan Koklea

Terdapat beberapa jenama alat implan koklea di pasaran Malaysia. Pesakit perlu menjalani sesi kaunseling pemilihan alat yang sesuai.

  • Medel
  • Advanced Bionic
  • Cochlear Ltd.
Limitasi Alat Implan Koklea

Alat implan koklea ini masih mempunyai limitasi yang mana-mana teknologi sedang berusaha sedaya upaya untuk mengatasi masalah ini. Antara limitasi bagi alat bantu dengar adalah :-

  • Bunyi yang dihasilkan daripada alat tidak sama seperti apa yang boleh didengar oleh telinga normal – namun setelah menggunakan alat implan koklea dalam beberapa minggu, otak akan terbiasa pada bunyi yang dihasilkan. Kebiasaannya pada beberapa hari awal sahaja pengguna alat implan koklea akan perasan pada perbezaan bunyi yang dihasilkan oleh alat implan koklea.

     

  • Alat implan koklea tidak direka untuk mendengar dalam jarak lebih daripada lingkungan 2 meter daripada pengguna alat implan koklea itu sendiri. Kebolehan mikrofon untuk menangkap bunyi tersebut hanyalah dalam jarak yang dekat. Namun, limitasi ini boleh diatasi dengan aksesori tambahan yan membolehkan pengguna alat implan koklea boleh mendengar dengan jarak lebih daripada 10 ke 20 meter!!

     

  • Bunyi bising atau bunyi hingar latar belakang adalah merupakan musuh utama bagi alat implan koklea. Kebanyakan alat implan koklea sekarang sudah mempunyai teknologi yang boleh mengurangkan bunyi bising namun masih belum boleh mengurangkan bunyi bising secara total. Para pengguna alat implan koklea perlu menjauhkan diri daripada bunyi bising yang menganggu untuk mendengar dengan lebih baik.
Harga Alat Implan Koklea

Harga alat implan koklea adalah antara RM70,000 hingga RM100,000 seunit. Harga ini bergantung kepada jenis alat implan koklea dan jenama bagi alat tersebut. Harga adalah tertakluk kepada pembekal alat tersebut dan boleh berubah dari masa ke semasa.

Bantuan Kewangan Untuk Alat Implan Koklea

Pesakit yang layak, boleh memohon bantuan pembelian alat implan koklea. Contoh agensi yang menawarkan bantuan adalah: 

  • Badan Bukan Kerajaan (NGO)
  • Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
  • Tabung Bantuan Perubatan Hospital, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
  • Veteran
  • Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)

Rehabilitasi

Pengenalan

Bagi memastikan anda atau anak anda mendapat manfaat daripada alat bantu dengar atau implant koklea, beberapa perkara atau teknik perlu diaplikasikan. Berikut adalah tindakan yang perlu dilakukan setelah menggunakan alat bantu dengar atau implant koklea:-

 

ADAPTASI/MEMBIASAKAN DIRI DENGAN ALAT BANTU DENGAR ATAU IMPLAN KOKLEA

  1. Susah untuk memasukkan acuan telinga
  2. Alat terlalu sensitif, semua bunyi boleh dengar, bunyi cicak, jam dinding, bunyi bising
  3. Tiada orang di rumah dan tak bercakap dengan sesiapa, jadi saya tak pakai alat bantu dengar

 

Komen di atas adalah sangat popular pada fasa permulaan penggunaan alat bantu dengar terutamanya. Apabila kita telah sekian lama mempunyai masalah pendengaran, otak pendengaran menerima kurang rangsangan bunyi. Setelah kita memilih untuk mempunyai kualiti hidup yang lebih baik dengan menggunakan alat bantu dengar, otak pendengaran mula menerima rangsangan bunyi dan otak pendengaran masih belum biasa dengan bunyi yang baru. Disebabkan inilah, audiologis akan menyarankan untuk gunakan alat bantu dengar sepanjang berjaga atau minimum 8 jam setiap hari. 

Dengan membiasakan diri setiap hari, kita akan terlatih untuk memasukkan acuan telinga, dan juga kita juga secara tidak sengaja melatih otak pendengaran kita untuk mendengar bunyi daripada alat bantu dengar atau implant koklea. Jangan berhenti dan teruskan untuk menggunakan alat bantu dengar atau implan koklea demi kualiti hidup yang lebih baik. Teruskan usaha!..

Mengembangkan Otak Mendengar

Memakai alat pendengaran SEPENUH MASA

Otak kanak-kanak perlu mendengar selama 20,000 jam sebelum ia bersedia untuk belajar membaca. Kelewatan mendengar = kelewatan membaca.

Mengingatkan anak untuk mendengar

Dapatkan perhatian anak dahulu sebelum bercakap. Anda boleh panggil namanya dan meminta mereka untuk dengar” setiap kali sebelum anda bercakap.

Penekanan akustik/ suara menyanyi

Teknik ini bukan sahaja menjadikan suara anda lebih menarik, ia juga lebih mudah didengar.

Sentiasa bercakap dengan anak anda

Ceritakan situasi yang sedang berlaku. Ceritakan apa yang anak anda dengar, lihat, bau, rasa dan lakukan.
Kajian menunjukkan kanak-kanak perpendengaran normal pada kebiasaanya terdedah kepada 13 ke 45 juta perkataan pada umur 3 tahun, dan ini berkait rapat dengan prestasi akademik mereka pada umur 9 tahun.

Persekitaran mendengar yang baik

Jauhkan diri dari sumber kebisingan (television, radio dsb.) Duduk dekat dengan anak anda semasa bercakap dengannya.

Learning To Listen Sounds

Learning to listen sounds (LTLS) merupakan antara cara mudah dan menarik bagi kanak-kanak bermasalah pendengaran untuk mula mempelajari kemahiran mendengar dan berbahasa.

Kebanyakan LTLS mengandungi bunyi vokal yang menjadikan bunyi-bunyi ini lebih lantang dan mudah untuk didengar. 

Bunyi-bunyi ini selalunya disebut dengan intonasi yang berbeza untuk menjadikannya menarik dan senang diingati oleh kanak-kanak kecil.

Berikut merupakan contoh-contoh LTLS yang anda boleh gunakan untuk mengajar anak anda.Berbincanglah dengan terapis anda untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai LTLS!

Pembelajaran Menarik Di Rumah

Bilik Tidur

Lakukan rutin harian sebelum tidur bersama anak anda; contohnya memberus gigi, tukar baju tidur, membaca buku cerita, menyimpan alat bantu dengar, menutup lampu. Sekali sekala, anda boleh sabotaj anak anda dengan katil yang kosong! Kemudian cari bantal dan selimut bersama mereka.

Bilik Mandi

Anak anda perlu membuka alat bantu dengar semasa mandi, namun ia tidak menghalang anda untuk mengajar kosa kata berkaitan waktu mandi! Anda boleh bermain aktiviti memandikan anak patung dan ajar perkataan berkaitan dengan waktu mandi!

Dapur

Libatkan anak anda semasa menyediakan makanan dan sediakan meja makan bersama mereka dan kemaskan meja bersama mereka juga. Komen tentang makanan dengan kosa kata seperti masam, manis, pedas, sejuk. Perkataan sedemikian hanya boleh dipelajari dengan pengalaman sebenar.

Ruang Tamu

Gunakan ruang ini sebagai tempat semua ahli keluarga untuk berkumpul, berbual-bual dan bermain. Libatkan adik-beradik dalam aktiviti seperti menyanyi dan melakukan aktiviti seni kraf tangan. Bersihkan rumah bersama anak anda! Menggunakan pelbagai kosa kata dan ayat semasa melakukan kerja-kerja rumah bersama anak anda seperti sapu lantai, meja berhabuk, bersihkan dll.

Almari Baju

Benarkan anak untuk memilih bajunya sendiri, atau memilih baju untuk anda! Benarkan anak untuk memakai baju sendiri. Puji mereka “cantiklah adik pakai baju ni!”

Strategi Komunikasi

Selain penggunaan peranti pendengaran, mengenalpasti strategi komunikasi juga penting untuk membantu anak anda mendengar dengan lebih baik. Berikut adalah beberapa strategi:

  • Dapatkan perhatian anak anda sebelum bercakap dengannya.
  • Jangan bercakap dengan/memanggil kanak-kanak daripada bilik yang lain (contohnya: memberi arahan daripada dapur sedangkan anak anda berada di ruang tamu).
  • Pastikan anak anda dapat melihat wajah anda dengan jelas semasa anda sedang bercakap. Jangan tutup mulut/bibir dengan tangan anda bagi memastikan kanak-kanak dapat membaca pergerakan bibir. Pergerakan tangan dan raut muka membantu mereka untuk memahami perbualan dengan lebih baik.
  • Pastikan anak anda dapat melihat wajah anda dengan jelas semasa anda sedang bercakap. Jangan tutup mulut/bibir dengan tangan anda bagi memastikan kanak-kanak dapat membaca pergerakan bibir. Pergerakan tangan dan raut muka membantu mereka untuk memahami perbualan dengan lebih baik.
  • Jika kanak-kanak itu mempunyai pendengaran yang lebih baik di salah satu telinga, posisikan diri anda di sebelah telinga yang baik itu.
  • Elakkan berbual di tempat yang bising (contoh: di dapur di mana mesin pengisar sedang digunakan; di ruang tamu di mana mesin vakum sedang digunakan).
  • Jangan menjerit – cakap dengan perlahan (tidak laju) dan jelas.
  • Gunakan bahasa mudah dan elakkan bahasa berbunga atau teknikal.
  • Gunakan ayat penuh, dan frasa singkat kerana ianya lebih mudah untuk difahami

Komuniti Pendengaran

Masalah pendengaran tidak mengenal usia. Baik bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa, dan warga emas boleh berisiko untuk dilahirkan atau mendapat masalah pendengaran tersebut. Masalah pendengaran ini juga tidak boleh diselesaikan atau dibantu dengan seorang diri. Mereka boleh dibantu dengan bantuan kewangan, sokongan emosi, ilmu pengetahuan dan lain-lain.

Kenali dengan dengan lebih lanjut kumpulan sokongan yang sesuai untuk anda.

Audiologis

Terdapat beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ditubuhkan bagi mengumpulkan audiologis-audiologis juga terapis pertuturan.

Persatuan Audiologis Kebangsaan Malaysia - The Malaysian National Society of Audiologists (MANSA)

MANSA telah bermula pada 24 September 2010 dengan kekuatan 40 orang audiologis dan berkembang dengan keahlian ramai dari audiologis yang praktis di Malaysia. Untuk kenali MANSA dengan lebih lanjut, layari www.mansa.org.my atau https://www.facebook.com/mansaassociation/.

Malaysian Association of Speech-Language & Hearing (MASH)

MASH secara rasminya berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 26 Disember 1995. Bermula dengan kekuatan ahli seramai 6 orang dan kian berkembang bilangan keahlian dari hari ke hari. Untuk mengenali MASH dengan lebih lanjut, layari www.mash.org.my atau https://www.facebook.com/mash.org.my/.

Ibu Bapa

Hear Me Malaysia

Hear Me bervisikan untuk menjadi sebuah persatuan yang memperjuangkan hak kualiti hidup anak-anak masalah pendengaran melalui pengukuhan kerjasama dengan golongan profesional dalam pelbagai bidang dan memperkasakan kesedaran masyarakat tentang isu masalah pendengaran. Untuk mengenali Hear Me dengan lebih lanjut, layari www.hearme.my atau https://www.facebook.com/hearmemalaysia.

exact

Pelajar / Mahasiswa

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Program pengajian ini dijalankan dalam masa empat (4) tahun pengajian. Pelajar diajar beberapa subjek asas yang berkaitan pendengaran dan pertuturan semasa di Tahun 1 sementara tahun-tahun berikutnya, subjek-subjek khusus program akan diajar. Kursus ini juga dilengkapi dengan latihan klinikal intensif bermula dari Semester II Tahun 2 sehingga tahun akhir pengajian. Untuk mengenali dengan lebih lanjut, layari http://www.ukm.my/fsk/sarjanamuda-audiologi-dengan-kepujian/ atau https://www.facebook.com/myaudiologyukm.

Universiti Islam Antarabangsa (UIA)

Program ijazah audiologi untuk Sarjana Universiti Islam Antarabangsa bertujuan untuk melahirkan aduiologis bagi memenuhi keperluan masyarakat Malaysia dan industry penjagaan kesihatan secara global. Untuk mengenali dengan lebih lanjut, sila layari https://www.iium.edu.my/my/programme/show/bachelor-of-audiology-honours atau https://www.facebook.com/KOMaudiologyunit/

Universiti Sains Malaysia (USM)

Program Audiologi bertujuan untuk melahirkan audiologi yang berpengetahuan dan mampu untuk praktis audiologi ini baik di sector awam mahupun swasta. Graduan akan dianugerahkan Sarjana Muda Sains Kesihatan (Audiologi). Program 4 tahun ini merangkumi pembelajaran secara teori dan praktikal (klinikal). Untuk mengenali dengan lebih lanjut, sila layari http://www.ppsk.usm.my/