Pengenalan IMEN

IMEN merupakan salah satu pusat kecemerlangan UKM yang memiliki prestasi tahunan melepasi jangkaan universiti . Penubuhan awal IMEN yang menelan kos lebih RM 38 juta adalah merupakan sumbangan geran daripada kerajaan dan TM – R&D Sdn. Bhd. IMEN juga telah mendapat geran penyelidikan daripada kerajaan yang berjumlah lebih RM 8.8 juta bagi tujuan aktiviti penyelidikan dalam bidang MEMS dan Nanoelektronik.
Sepanjang penubuhan dari tahun 2002 sehingga kini, IMEN telah menghasilkan lebih daripada 15 paten yang merupakan hasil daripada penyelidikan. Penyelidik IMEN juga secara aktif telah menghasilkan publikasi ilmiah sebanyak lebih 400 artikel dalam jurnal dan prosiding yang terindeks dalam artikel ISI-WOS dan SCOPUS yang diterbitkan di antara tahun 2006 sehingga 2011.Sejak penubuhan institut dari tahun 2002, penyelidik IMEN secara aktif meneruskan pencapaian target Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai jenama kebangsaan dalam penyelidikan bidang mikroelektronik dan nanoteknologi. Sehinggalah, pada tahun 2011, IMEN telah terpilih sebagai pusat kecemerlangan nanoteknologi Malaysia.
Kekuatan IMEN adalah Felo Penyelidik yang diiktiraf secara meluas di peringkat antarabangsa, dikenali dan dihormati di Malaysia dalam bidang kepakaran individu masing-masing. Oleh itu, IMEN telah menjadi sebuah institut pilihan yang terkenal bagi pelajar yang ingin melanjutkan pengajian sarjana dalam bidang teknologi mikro dan nanoelektronik. Pada masa ini, IMEN mempunyai 15 felo penyelidik sepenuh masa danlebih  70 pelajar pasca siswazah. Bermula dari tahun 2006 bilangan pelajar pasca siswazah yang dihasilkan oleh IMEN adalah 27 graduan PhD dan 29 graduan MSc.
Sehingga kini, institut telah menjalin kerjasama penyelidikan dengan 13 institusi peringkat antara bangsa termasuk Inter-University Semiconductor Research Center Seoul National University, Kyungpook National University Korea, Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia, Universiti Kyoto, Jepun dan National University of Singapore. Pada peringkat kebangsaan, IMEN telah membentuk kerjasama dengan Telekom R & D dan MIMOS Berhad. Sejak dari tahun 2007, IMEN telah melakukan seminar bersama secara berterusan dengan Inter-University Semiconductor Research Center Seoul National University, Kyungpook National University dan Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia .
Penyelidik IMEN akan terus melakukan penyelidikan bagi membangunkan teknologi dan sistem untuk aplikasi strategik. Melalui kerja-kerja penyelidikan yang berterusan, IMEN akan dapat memanfaatkan faedah teknologi mikro yang boleh menjanjikan kehidupan yang lebih baik. IMEN memberi tumpuan kepada pembangunan idea-idea dan teknik baru serta membangunkan pengetahuan yang dapat menyumbang kepada kemajuan teknologi Malaysia. Pencapaian dan pembangunan institut adalah hasil daripada komitmen dan kerja keras ahli akademik, pentadbiran dan sokongan warga IMEN, UKM.