AGIHAN MAKANAN JOA ANJURAN JOURNEY OF ASEAN: MALAYSIA

 

 

Bangi, Selangor – Kolej Dato’ Onn, UKM telah menganjurkan program JOA Dekat Di Hati anjuran Majlis Eksekutif Pelajar Akademik, Penyelidikan dan Inovasi di Kolej Dato’ Onn (KDO) pada tarikh 1, 9, 16, 23 dan 30 Jun 2021. Program ini telah melibatkan 270 orang mahasiswa/i KDO termasuk 20 orang jawatankuasa yang terlibat daripada tahun 1 hingga tahun 3 dalam menjayakan program perdana agihan makanan di bawah program Journey of ASEAN: Malaysia. Journey of ASEAN: Malaysia atau lebih dikenali dengan nama singkatan JOA, merupakan program kesukarelawan KDO bertaraf antarabangsa. Program JOA yang dijadualkan untuk berlangsung di Vietnam pada bulan Mac 2020 dan di Sarawak pada bulan Mac 2021, kedua-duanya terpaksa ditangguhkan atas sebab wabak Covid-19.

            Semangat untuk meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat tidak terhenti malah semangat tersebut diteruskan dengan melaksanakan program bantuan kebajikan JOA Dekat Di Hati, melibatkan mahasiswa/i yang menetap di KDO sepanjang Semester 2 Sesi 2020/2021. Agihan makanan kering dan juadah tengahari disalurkan kepada warga KDO pada setiap hari Rabu sepanjang lima minggu program dilaksanakan. Program ini bertujuan untuk membantu meringankan beban pelajar daripada mengeluarkan duit bagi membeli makanan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

1 Jun 2021 (Rabu)

Agihan makanan JOA #JOADekatDiHati julung kalinya dimulakan dengan edaran makanan kering seperti mee segera, biskut kering, air mineral banyak lagi. Bertempatkan di Bilik Seminar (nama sebelumnya Bilik Eksklusif). Pengagihan makanan kering pula bersasarkan seramai 220 orang mahasiswa yang menghuni Kolej Dato’ Onn bagi semester ini. Penganjuran ini juga dibantu oleh dua orang felo penasihat program; Encik Hadrry dan Encik Faliq bersama barisan felo kediaman kolej. Majlis pengagihan dimeriahkan lagi dengan kunjungan mesra oleh Prof. Madya Ts. Dr. Norinsan Kamil, pengetua Kolej Dato’ Onn.

 

 

9 Jun 2021 (Rabu)

Sesi kedua diteruskan dengan pengagihan juadah set cop ayam (chicken chop) dan sumbangan pensanitasi tangan (hand sanitizer) kepada seluruh mahasiswa kolej. Pengagihan kali ini juga berlangsung di Bilik Seminar bersama barisan jawatankuasa dan felo penasihat yang setia bersama-sama menjayakan program ini. Sambutan daripada mahasiswa kolej sangat menggalakkan di samping pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sangat sistematik.

 

 

16 Jun 2021 (Rabu)

Pengagihan kali ini dilanjutkan dengan menu makanan segera yang cukup terkenal dan menjadi kegemaran seluruh warga kolej. Barisan majlis tertinggi telah bersetuju untuk menyajikan McDonalds khas buat warga kolej. Setiap seorang akan mendapat 1 set burger mcChicken. Menariknya kali ini, atas inisiatif Ketua Pengarah Program, Sdr. Azim Naim, bersetuju untuk menambah bilangan sasaran kepada 250 orang. Sebahagiannya akan diedarkan kepada beberapa petugas barisan hadapan Universiti Kebangsaan Malaysia yang telah banyak berjasa kepada seluruh warga UKM.

 

 

23 Jun 2021 (Rabu)

Sesi yang seterusnya, warga kolej disajikan menu kegemaran rakyat Malaysia iaitu nasi tomato dan menu Timur Tengah; nasi Arab ayam mandy. Setiap pelajar diberikan pilihan sama ada nasi tomato atau nasi Arab ayam mandy. Bilangan sasaran yang sama seperti sesi sebelumnya juga akan diedarkan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus menjaga keselamatan UKM. Sambutan mahasiswa juga tidak pernah mengecewakan setiap minggu. Menariknya kali ini, inisiatif Sdr. Luqman, jawatankuasa program, berhasrat untuk menaja sebanyak 10 balang bertih jagung miliknya (Eng’s Popcorn) melalui acara cabutan bertuah. Sepanjang program berlangsung, dua orang pelajar dari Pusat Kajian Media & Komunikasi (MENTION) membuat liputan di samping menemu bual Prof. Madya Ts. Dr. Norinsan Kamil, pengetua Kolej Dato’ Onn dan Sdr. Naim serta beberapa mahasiswa yang turut terkesan akibat perintah berkurung yang dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan.

 

 

30 Jun 2021 (Rabu)

Bagi sesi yang terakhir, agihan makanan kali ini memilih menu Aloha Chicken dan Beef Peperoni, Dominos Pizza. Di samping itu, para pelajar juga akan menerima 1 pek makanan kering seperti Nips, roti Gardenia coklat atau vanilla dan banyak lagi. Sebagai penutup, majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran Puan. Norizan, Penolong Pengurus Asrama, Kolej Dato’ Onn bersama staf sokongan kolej. Barisan felo kediaman juga turun padang memberikan sokongan terakhir kepada seluruh jawatankuasa Journey of ASEAN: Malaysia 2021. Majlis berakhir dengan lancar di samping mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

 

 

Program ini sewajarnya diteruskan untuk semester-semester yang akan datang jika pelajar berada dalam situasi yang memerlukan. Ini merupakan inisiatif untuk menjaga kebajikan para pelajar dalam menghadapi tekanan pandemik atas wabak Covid-19.

 

Disediakan oleh:

Anith Shanira Binti Shahrulnezam

Muhammad Irfan Waqiuddin bin Hasanudin

Foto oleh: Jawatankuasa Media dan Publisiti Journey of ASEAN: Malaysia