KEMBARA EXTREME @ JERANGKANG SESI 2019/2020

Kembara Extreme Jerangkang merupakan sebuah program yang julung kali diadakan. Program ini dijalankan di Hutan Lipur Eco Rimba Jerangkang di Maran, Pahang pada 6 Mac sehingga 8 Mac 2020. Seramai 40 orang peserta dan 27 orang ahli jawatankuasa telah menyertai program ini. Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk membentuk ketahanan fizikal dan mental peserta selain menggilap bakat-bakat seorang pemimpin dalam kalangan pelajar Kolej Dato’ Onn.

Program yang dianjurkan oleh Sekretariat Akrab Kolej Dato’ Onn sesi 2019/2020 dengan kerjasama Sekretariat Sukan dan Rekreasi Kolej Dato’ Onn ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dari pelajar. Aktiviti yang dijalankan semasa program ini adalah melibatkan akiviti lasak seperti absailing, flying fox dan juga aktiviti mendaki. Aktiviti lasak ini dipantau sepenuhnya oleh jurulatih yang terlatih iaitu Encik Naim yang berfungsi sebagai ketua jurulatih sambil dibantu oleh beberapa orang pembantunya dalam memastikan keselamatan para peserta terjamin.

Melalui program ini, peserta didedahkan dengan aktiviti yang bersifat kepimpinan seperti pemantapan jati diri dan juga ketahanan mental. Selain itu, peserta juga mendapat pengalaman berguna mengenai cara untuk menjadi seorang pemimpin yang cergas dan cerdas di universiti umumnya dan di kolej khasnya dengan cara penerapan nilai-nilai kepimpinan ke dalam diri setiap individu peserta kolej ini.

Disediakan oleh : Aiman Fithri