Status Terkini Gangguan Bekalan Air

Utk makluman semua, UKM merupakan pelanggan kepada Syabas. Siaran media Syabas bertarikh 1 April 2016 memaklumkan terdapat gangguan bekalan air akibat permintaan yang tinggi, tetapi tidak dinyatakan tempoh gangguan tersebut.

Oleh itu, UKM tidak dapat memastikan bilakah gangguan ini akan berakhir. Di UKM, kawasan yg terjejas adalah di seluruh lingkungan 1.
Air yang diagihkan menggunakan hukum graviti akan mengalir ke kawasan yang lebih rendah dahulu sebelum boleh sampai ke kawasan yang lebih tinggi. Rekod air masuk ke UKM juga menunjukkan air masuk pada waktu pagi sahaja, tetapi tiada air masuk menjelang tengahari dan lewat petang. Pihak UKM melalui KRA6 dan JPP telah mengambil beberapa tindakan meminimumkan kesan gangguan, terhad dalam ruang lingkup dan keupayaan UKM:
1. Mendapatkan air di punca air masuk (berhampiran padang) yang berada pada kedudukan lebih rendah untuk diagihkan ke tangki statik, tangki sedutan, dan tangki bangunan yang ada di seluruh UKM;
2. Mengaktifkan telaga tiub sebagai sumber air alternatif untuk menampung keperluan air;
3. Mendapatkan sokongan bekalan air dari lingkungan 2 untuk kegunaan beberapa bangunan di lingkungan 1;
4. Memastikan tiada pembaziran melalui pemantauan sekiranya berlaku sebarang kebocoran;
5. Meminimumkan kerja-kerja pencucian dan landskap yang menggunakan air yang banyak;
6. Menulis surat kepada pihak Syabas memohon bantuan bekalan air terawat serta agihan air yang lebih banyak ke UKM bagi menampung keperluan warga UKM.
 Sehubungan itu, warga UKM diseru untuk berjimat cermat dalam penggunaan air dan melaporkan segera kepada pihak JPP sekiranya terdapat kebocoran atau kerosakan pada sistem perpaipan di kampus.
Warga UKM juga dimohon untuk memastikan semua paip ditutup rapat (terutamanya ketika ketiadaan air) bagi mengelak pembaziran air apabila bekalan kembali pulih. Bagi melancarkan penghantaran bekalan air sokongan, warga UKM dinasihatkan agar tidak meletak kenderaan di tempat yang boleh menghalang pergerakan lori tanker.
Sekian, segala kerjasama dan keprihatinan serta kesabaran warga UKM dalam menghadapi krisis ini sangatlah dihargai dan diucapkan ribuan terima kasih.