KESUKMA Berjaya Capai Persefahaman Bersama Pengurusan Perpustakaan HCTM
Kesatuan Kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia (KESUKMA) yang diketuai Presidennya, Encik Barudin Bin Baharin telah mengadakan sesi perbincangan bersama Encik Azlan Mohamad Hamzah, Ketua Perpustakaan HCTM (Timbalan Ketua Pustakawan S13) serta Ts. Md Hafiz Ahmad Zulkifli, Ketua Bahagian Perkhidmatan Maklumat & Penyelidikan, Perpustakaan HCTM (Timbalan Ketua Pustakawan S13) bagi membincangkan isu pengecualian warga Perpustakaan HCTM daripada pelaksanaan BDR.
Alhamdulillah, hasil rundingan tersebut telah mencapai persefahaman yang amat positif. Pengurusan Perpustakaan HCTM bersetuju untuk menggerakkan proses penyediaan permohonan pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) serta Hari Bekerja Hibrid bagi warga Perpustakaan HCTM yang akan dibentangkan kepada Pengarah HCTM dalam masa terdekat ini.
Kejayaan ini membuktikan bahawa pendekatan rundingan yang berhemah, berasaskan fakta dan mengutamakan kepentingan bersama mampu menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada semua pihak. KESUKMA percaya bahawa kebajikan pekerja dan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan boleh bergerak seiring melalui kerjasama erat antara pihak pengurusan dan kesatuan.
KESUKMA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pihak Pengurusan Perpustakaan HCTM atas kesediaan mereka mendengar pandangan, berbincang secara konstruktif serta memberikan komitmen dalam mencari jalan penyelesaian terbaik demi kesejahteraan warga Perpustakaan HCTM. Hadir bersama barisan Ahli Majlis Jawatankuasa KESUKMA iaitu Puan Siti Noorazilal Aini, Tc. Mohamad Sazuan, Encik Muhammad Farid, Encik Muhamad Helmie dan Encik Muhd Nuurul Iman.
Gambar penuh di Facebook KESUKMA
