KIY Global Connect: Thailand Chapter
Program KIY Global Connect: Thailand Chapter telah berlangsung pada 23 hingga 28 Julai 2025 yang merupakan hasil kolaborasi bersama salah satu universiti di Thailand iaitu Prince of Songkhla University (PSU). Program ini dimulakan dengan sesi alu-aluan dengan diikuti oleh pengenalan oleh wakil pelajar Majlis Eksekutif Pelajar (MEP) Kolej Kediaman Ibrahim Yaakub. Dalam sesi ini, peranan dan struktur organisasi pelajar diterangkan secara ringkas bagi memberi pemahaman kepada peserta dari Prince of Songkhla University (PSU) mengenai kepimpinan pelajar dan penglibatan dalam sistem kolej kediaman di UKM.
Program diteruskan dengan taklimat akademik oleh Ibunda Pengetua, Dr. Seri Mastura Mustaza yang memperkenalkan struktur akademik universiti, sistem fakulti, dan rangka pembelajaran keseluruhan. Sesi ini membolehkan peserta PSU memahami operasi akademik di UKM serta bagaimana pengalaman pembelajaran melangkaui bilik kuliah.
Bagi memupuk penghargaan terhadap budaya, pelajar dari KIY dan PSU membentangkan persembahan kebudayaan yang memaparkan elemen tradisi dan warisan masing-masing. Program turut disertai dengan permainan interaktif melibatkan peserta dari kedua-dua institusi, mewujudkan suasana yang ceria, merapatkan hubungan, dan menggalakkan interaksi antara budaya. Program berakhir dengan sesi penutup dan penggambaran kumpulan sebagai tanda kenangan dan hubungan bermakna antara kedua-dua universiti.





