Kempen Derma Darah 2024 / 2025
KEMPEN DERMA DARAH DAN SARINGAN KESIHATAN KTSN: 95 PEK DARAH DALAM 5 JAM
Kempen Derma Darah dan Saringan Kesihatan anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) UKM Detachment 88W Kolej Tun Syed Nasir (KTSN) dengan kerjasama Pusat Darah Negara (PDN) dan Pusat Kesihatan UKM (PKU) telah berjaya dilaksanakan pada dua sesi berbeza, iaitu pada 24 Mei 2024 dan 12 April 2025, bertempat di Dewan Tun Syed Nasir, Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur.
Pada kempen terdahulu yang berlangsung pada 24 Mei 2024, sebanyak 81 pek darah bersamaan 36.5 liter telah berjaya dikumpulkan hasil sumbangan pelajar, kakitangan dan orang awam. Dalam sesi yang sama, hampir 150 orang turut menyertai saringan kesihatan percuma yang dikendalikan oleh pihak PKU.
Kempen yang diteruskan pada 12 April 2025 sekali lagi menunjukkan sambutan luar biasa, dengan sebanyak 95 pek darah berjaya dikumpulkan dalam masa hanya 5 jam. Setiap pek darah yang disumbangkan membawa harapan baharu, dan berpotensi menyelamatkan sehingga 95 nyawa. Ramai dalam kalangan penderma adalah individu yang menderma buat kali pertama, dan ramai antara mereka menyatakan hasrat untuk terus menyokong program ini pada masa akan datang.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penderma yang tampil menyumbang darah. Anda adalah wira, penyelamat nyawa sebenar. Semoga kempen sebegini dapat terus memupuk semangat prihatin dan budaya menderma darah sebagai satu tanggungjawab sosial seluruh warga masyarakat.